Sunday, January 06, 2019

Jelajah Nusa Penida 2 hari 1 malam

Sunday, January 06, 2019
Nusa Penida merupakan sebuah pulau yang terletak dalam Wilayah Pulau Bali. Perjalanan dari Jeti Sanur ke Nusa Penida mengambil masa 45 hingga 60 minit dengan menaiki bot laju. Saya membuat persediaan perjalanan sebulan sebelum  bertolak ke Negara Kesatuan Republik Indonesia. Boleh dikatakan setiap tahun, Indonesia merupakan salah satu negara yang wajib dilawati oleh saya. Maka tidak hairanlah jika rakan-rakan melontarkan kata-kata seperti "Pulang ke Kampung ke tu?", "Balik rumah nombor dua" dan sebagainya. Saya akui. Negara yang penuh dengan pelbagai adat dan budaya ini wajib dilawati. 

Berbalik kepada Nusa Penida. Pulau ini mempunyai kira-kira 46 ribu penduduk. Tidak mempunyai jalur jalanraya seperti Malaysia, di sini hanyalah jalan raya sebesar jalan kampung jika disamakan dengan keadaan di Malaysia. Setelah masuk ke dalam kereta Toyota Rush yang ditempah bersama pemandu, saya bertanyakan soalan kepada bapak supir, "Pak, lama lagi mau ke jalan yang lebih besar?'. Beliau membalas, "tiada mas, hanya jalan seperti ini". Saya menelan air liur seketika. Bermonolog dalaman, "hadap sahaja". Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang berada di sana, penduduk majoritinya adalah nelayan dan membanting tulang berbakti kepada tanah. Hasilnya dijual di pasar. 

Saya mengambil pakej dua hari satu malam di Pulau Nusa Penida. Jika tidak mahu mengambil pakej, pelancong boleh menyewa motosikal. Tapi saya tidak sarankan untuk menyewa motosikal. Jalannya berlubang bagaikan kawah gunung berapi. Ada saja bule (Mat Salleh) yang jatuh semasa melalui jalan ini. 

Seawal jam lapan pagi kami sudah terpacak di Jati Sanur untuk mengambil bot ke Nusa Penida. Sampai sahaja di Nusa penida, kami disambut oleh bapak (tidak ingat namanya). Beliau telah merencanakan beberapa tempat untuk dilawati. 

Jelajah Hari 1:
Lokasi : Goa Giri Putri, Atuh Beach, Pulau Seribu, Teletubbies Hill

GOA GIRI PUTRI

Turun daripada kereta saya terlintas difikiran, tempat ini hanyalah sama seperti pura yang berada di Pulau Bali. Disuruh untuk naik tangga dan katanya ada pura di atas. Ku turutkan sahaja apa yang disuruh oleh supir. Naik tangga satu pertiga daripada tangga batu caves rasanya sampailah di atas bukit. Pandang kiri dan juga kanan. Tiada pura kelihatan. Yang ada hanyalah bapaka-bapak yang berpakaian rasmi adat budaya hindu. Berborak sambil minum air mineral yang diberikan oleh mereka. Selesai minum, salah seorang bapak bertanyakan kepada kami, "sudah bersedia?". Dalam hati saya, "hah, sudah.. apa yang bapak ni nak suruh buat". Direnjis air, dan disuruh masuk ke dalam lubang kecil celahan batu. Kali ini tidak tertelan air liur seketika. Tetapi terdiam kaku. Rupanya pura berada di dalam satu gua, seperti gua kelam di Perlis. Cuma pintu masuk kecil tetapi dalamnya luas. Saya cuma bayangkan orang yang bertubuh besar ingin masuk sahaja. Lekat kat batu, jadi batu belah batu bertangkup la rasanya.. 


Saya dan rakan-rakan perlu memakai Sarong untuk masuk. Sewa kain dalam RP5000. Pesanan kepada mereka yang nak datang ke Nusa Penida, jika tempat ini tersenarai, fikir-fikirkanlah. Kalau taknak pergi, cakap ja pada supir untuk skip. Lebih baik juga untuk teruskan perjalanan berbatu-batu jauhnya yang lain. 

ATUH BEACH, PULAU SERIBU

Selesai melawat Pura sambil berkain sarung, saya teruskan perjalanan ke Pantai Atuh. Untuk sampai ke tempat ini mengambil masa satu jam perjalanan. Jalan kecil sebagaimana yang saya dah terangkan di pendulu cerita. Kalau ada kenderaan arah bertentangan, kita sebagai penumpang perlu mengucap terlebih dahulu dan supir perlu belajar mengalah. Jalur jalan raya ada jalan dah bertar, ada yg belum, Jadi bertahanlah dalam kereta. Penumpang di belakang melompat bagaikan bot melalui ombak musim monsun. Bersedia dengan ubat-ubatan bagi mereka yang tidak tahan dengan goyangan kiri, kanan, atas dan bawah. 

Setelah supir menekan break dan meletakkan gear dalam mode (P) parking, perkataan pertama yang keluar adalah MasyaAllah. Serius cantik! Ya. Sangat cantik. Tidak hairanlah, Bali merupakan antara 15 pulau terbaik di dunia pada tahun 2018. Pulau pertama yang tersenarai adalah Pulau Jawa kerana terdapat satu Kota Warisan Dunia UNESCO iaitu Candi Borobudur. Yang kedua Bali dan ketiga adalah Lombok. Alhamdulillah. Ketiga-tiga tempat ini saya sudah lawati. Yogyakarta tiga kali saya ke sana, manakala Bali dan Lombok masuk kali kedua. 



Berbalik kepada Pantai Atuh, pelancong perlu naik dan juga turun. Seperti biasa, naik turun merupakan perkara yang paling senang. Sedikit sukar apabila mahu naik semula, mengucap dan berzikir supaya urusan dipermudahkan. 

TELETUBBIES HILL

Selepas naik kerata, saya merasakan diri saya mengalami kesusutan lemak hasil daripada pendakian bukit untuk melihat pemandangan yang membuatkan mata tidak berkedip. Tempat seterusnya, bertolak ke Teletubbies Hill dari Atuh Beach. Perjalanan mengambil masa 30 minit sahaja. Kenapa ia dipanggil teletubbies sebab bukitnya bulatbulat sama seperti cerita kartun. Selalunya bukit berbentuk  segitiga. Kalau dulu masa sekolah, cikgu suruh lukis pemandangan kampung sayam sudah semestinya bukit segitiga adan matahari, sepohon pokok bersama rumah kayu. Lukisan yang hodoh pada ketika itu mempunyai nilai sentimental jika diingat pada masa dan ketika ini. 


MERTA SARI

Hari pun dah petang, supir terus menghantar saya dan rakan-rakan ke sebuah penginapan yang comel dan cantik. Mereka memanggil banglo. Selepas di temubual, kata wanita nusa penida penginapan ini baru sebulan beroperasi. Bilik air macam satu lagi bilik untuk tidur. Bersihkan diri, makan dan top-up tenaga untuk keesokan hari. Servis dan kemudahan yang disedikan saya bagi lima bintang. 


Jelajah Hari 2:
Lokasi : Klingking Beach, Crystal Bay, Angle's Billabong, Broken Beach

KLINGKING BEACH

Hari kedua terus bermula seawal jam 8 pagi. Maka bermulalah ekpedisi melompat-lompat dalam kereta Toyota Avanza. Saya sarankan yang mengandung rasanya jangan tiba-tiba mengidam untuk pergi. Kalau nak juga pergi, ambil insurans premium untuk membiayai kos bersalin di Bali. 



Pemandangan seperti biasa, ada momen 'Wow!'. Pemandangan di sini saya boleh analogikan seperi orang yang kita sayang memberikan sesuatu secara surprise. Terkejut dan kita menghargai apa yang dicipta olehNya.  

BROKEN BEACH, ANGLE'S BILLABONG

Seusai melihat pemandangan di Klingking, saya dan rakan-rakan sempat juga mengeluarkan peluh kerana membantu supir yang mengundur kereta sampai tersangkut di celah batu. Nak ketawa depan-depan rasa macam terlalu biadap, jadi ketawa dalam hati sajalah. 



Lagi sekali, jalan ke sana sangat mencabar. melompat lagi. Tapi yang ni dalam kadar yang agak keterlaluan.  Kombinasi melompat dan terhuyung hayang dalam kereta. Saya sarankan pergi seawal pagi. Orang tidak seramai tengah hari dan senang untuk mengambil gambar. Angle's Billabong dan Broken Beach berdekatan. 

Selesai melawat Broken beach, supir terus membawa kami ke jeti untuk pulang ke pulau bali. Apa yang boleh saya katakan, with a rich culture and plenty of natural sights in its pocket, Indonesia is a gold mine for many adventure-loving travellers.

Jadi apa tunggu lagi.. tempah tiket sekarang! 


Pakej Jelajah 2 hari :
RP700000/pax (Local)
RP850000/pax (International) Pakej termasuk tour, 2x lunch, 2x Banglo (1 banglo utk 2 org), breakfast di banglo, minum petang, return boat.




Thursday, November 30, 2017

Apa yang menarik di Cebu?

Thursday, November 30, 2017
Sebenarnya perancangan ke Cebu dilakukan dalam masa yang sangat singkat. Boleh dikatakan setiap hari saya membuat carian maklumat mengenai Cebu dan foto-foto yang boleh membuatkan jari ini tidak senang untuk mencari tiket dari KL ke Cebu. Alang-alang cuti Deepavali serentak bersama dengan cuti sekolah dan cuti pertengahan semester, alasan agak kukuh untuk menenangkan fikiran seketika daripada urusan kerja.


Jadi perancangan yang kurang daripada dua bulan ini, Alhamdulillah berjaya. Terima kasih travel mate. Perjalanan dari KL ke Cebu memakan masa lebih kurang empat jam penerbangan melalui ruang udara borneo dan seterusnya memasuki ruang udara antarabangsa filipina. Tiket yang saya tempah ketika itu adalah pada jam 6 petang waktu tempatan dan sampai di Mactan International Airport pada jam 10 malam. Untuk pengetahuan semua waktu Malaysia dan Cebu adalah sama. Cuma paginya cerah jam 5.30 pagi dan maghrib pada jam 5 petang tika matahari mulai gelap disulami dengan cahaya bulan yang kian menerangi alam.


Segala perjalanan dan jadual saya di Cebu diuruskan oleh Bianca, warga tempatan Cebu. Baik orangnya. Sampai sahaja di lapangan terbang, pemandu sudah sedia menunggu di ruang menunggu untuk ke motel di kawasan Alegeria. Masa yang diambil pula hampir tiga jam masa perjalanan. Jadi sampai di motel sekitar jam 2 pagi. 

Aktiviti pertama pada hari kedua yang tidak sampai 24 jam mejejaki Cebu dimulai dengan Canyoneering Trekking. Kawasan yang diberi nama Badian ini mempunyai satu tempat aliran air terjun yang seakan-akan Grand Canyon pemandangan kiri dan kanannya. Jadi pelancong perlu melalui kawasan tersebut sehingga check point terakhir iaitu air terjun Kawasan. Aktiviti ini merupakan aktiviti popular yang wajib dicuba oleh penggemar-penggemar pelancongan alam dan budaya. Kenapa?










SubhanAllah.. kawasan yang hijau bergunung ganang dengan air yang sejernih kristal membuat diri ini terpukau akan keindahan ciptaanNya. Sebelum trekking kena mematuhi peraturan pakaian yang telah ditetapkan. Jaket dan topi keselamtan dan kasut terutamanya. Sebab perjalanan megambil masa empat jam. Ya. Empat jam untuk perjalanan 10KM. Tapi jangan risau. Empat jam tu rasa macam sejam ja sebab mata anda akan dihidangi dengan suasana tumbuhan alam flora yang indah dan merentasi air terjun yang berbeza ketinggian.



Habis aktiviti Canyoneering balik ke motel, rehat dan jam dua perlu bergerak ke Osmena Peak. Kawasan pergunungan yang mempunyai panorama indah berdasarkan bacaan saya melalui travel blogger yang telah sampai ke sana. Tapi rezeki saya untuk melihat kawasan Alegeria dari puncak Osmena tidak tercapai disebabkan oleh kabus tebal dan hujan. Jadi masa yang sesuai menurut guide yang membawa saya ke puncak ini adalah pada waktu tengah hari atau pagi.


Oh. Lupa. Satu perkara menarik yang saya ingin kongsikan, perjalanan ke Osmena Peak daripada motel adalah satu jam tepat dengan menaiki motosikal melalui kawasan perkampungan. Sisi lain yang menarik bagi saya sepanjang satu jam perjalanan. Kiri dan kanan terdapat kawasan pertanian, penternakan dan penempatan. Sama seperti Malaysia, cuma mereka bergantung kepada sektor pertanian semata-mata dan bagi penduduk yang mempunyai kewangan yang kukuh, mereka akan melaburkan wang mereka dalam sektor pelancongan dengan membeli kenderaan seperti motosikal dan kereta serta peralatan-peralatan yang sesuai dengan aktiviti pelancongan setempat. 

Keesokan harinya, pada jam tujuh pagi saya bersama rakan perlu check out dan meneruskan perjalanan. Aktiviti pertama pada hari ketiga di Cebu, snorkeling bersama jerung di Oslob. Kawasan Oslob agak padat. Berkemungkinan kawasan ini merupakan lubuk bagi penduduk mencari rezeki bagi meningkatkan taraf hidup mereka dalam aktiviti pelancongan.




Pelancong yang datang dari pelbagai negara, bukan sahaja daripada Malaysia, malah dari negara barat, timur tengah dan negara-ngara asia. Pelancong akan diberikan sedikit taklimat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang berenang bersama-sama jerung. Kawasan ini pada awalnya seperti kawasan-kawasan lain di Cebu, cuma pada sekitar tahun 2000 penduduk secara kebetulan ternampak jerung dilaut dan mula menjinakkan dengan memberi makan setiap hari. Sehingga harini, kawasan tersebut merupakan kawasan yang telah dijaga dengan rapi oleh pihak berwajib untuk memastikan kawasan ini terpelihara dan tidak tercemar oleh perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawan sehingga memberi kesan kepada hidupan marin, terjejasnya ekonomi penduduk sekitar. Cuma dari kemudahan yang disediakan belum lagi memuaskan.





Selesai cuci mata bersama jerung, dalam keadaan hujan lebat perjalanan diteruskan ke Pulau Sumilon. Bagi saya lebih baik pulau-pulau di Thailand berbanding Sumilon Island ni. Hanya pulau semata-mata. Selesai melawat Sumilon perancangan seterunya adalah ke satu kawasan air terjun. Tapi cuaca tidak menginzinkan dengan keadaan hujan yang semakin lebat. Terpaksa akur dengan cuaca jadi perjalanan diteruskan ke bandar Cebu untuk pulang ke Malaysia. Bagi pelancong yang ingin mencari makanan halal salah satunya adalah kedai Persian Palate Restaurant, Mango Square Mall.

Sumilon Beach

Saya kongsikan Itinerary. Boleh click pada Iti dibawah dan cetak sebagai rujukan: 



Tips:

  1. Mestilah bawah wang yang mancukupi.
  2. Makanan - bawa makanan secukupnya seperti Brahim nasi goreng, arab dan sebagainya. Bawa roti dan tuna supaya boleh dimakan dimana-mana jika perut berkeroncong. Makanan dalam tin tidak digalakkan jika anda tidak check in luggage.
  3. Ubat-ubatan - minyak angin dan ubat-ubatan lain jika perlu
  4. Bagi aktiviti Canyoneering bawa kasut yang sesuai. Trekking dalam air, atas batu, tanah dan akar pokok.
  5. Sediakan wang 700 peso untuk cukai lapangan terbang semasa pulang.
  6. Boleh email jika ada sebarang pertanyaan: zwairy86@gmail.com

Sunday, March 05, 2017

Fujisan daripada Tasik Kawaguchi dan Saiko

Sunday, March 05, 2017


Subhanallah! itu sahaja yang dapat diungkapkan apabila kaki kanan mula melangkah keluar daripada bas yang dinaiki semasa sampai di stesen kawaguchiko daripada Stesen Shibuya, Tokyo. Tasik Kawaguchi merupakan salah satu tasik daripada lima tasik yang terkenal sekitar Mt Fuji. Selain daripada tasik Kawaguchi, tasik Saiko juga merupakan salah satu tasik yang bersebelahan antara satu sama lain yang boleh dijadikan tempat untuk melihat Mt. Fuji. Terdapat pelbagai kemudahan dan tempat-tempat menarik yang boleh dilawati ketika berada di sini. Perancangan ke sini setelah berada di Tokyo empat hari sangat-sangat berbaloi.

Saya terangkan sedikit mengenai Mt. Fuji. Gunung Fuji merupakan satu-satunya gunung yang paling tinggi di Jepun dengan ketinggian 3776 Meter. Kedudukan Gunung Fuji adalah sekitar 100KM daripada ibu kota Tokyo. Pada musim panas iaitu sekitar Julai dan Ogos, gunung ini juga menjadi tumpuan pendaki. Gunung Fuji ini juga merupakan bekas gunung berapi dan letusan terakhir adalah pada 16 Disember 1707. Gunung fuji ini menjadi tarikan apabila tiba musim sejuk kerana gunungnya dilitupi oleh salji seperti 'ais krim mcd choco top'.

Kenapa tasik kawaguchi menjadi pilihan? Tasik Kawaguchi merupakan kawasan atau spot yang menarik untuk menikmati keindahan Mt. Fuji selain daripada melakukan aktiviti lain seperti memancing dan sebagainya. Pada pandangan mata saya sendiri, kawasan ini perlu dilawati kerana selain daripada pemandangan yang boleh dikategorikan indah dan sejuk mata memandang, kawasan sekitarnya juga mesra pelancong dan tenang. Tidak sibuk seperti hutan batu Tokyo. Jadi boleh lari seketika dan bermalam di sekitar tasik ini yang menyediakan pelbagai jenis hotel mahupun hostel dengan harga yang berpatutan bersesuaian dengan bajet. 

Selama tiga hari dua malam berada di tasik ini, saya menggunakan 2 days pass green dan red line bas dengan harga 1200 yen untuk dewasa dan 600 yen bagi kanak-kanak. Sangat-sangat berbaloi. Hal ini kerana terdapat lebih kurang 77 tempat berhenti yang anda boleh lawati untuk menikmati keindahan tasik kawaguchiko dan tasik saiko. 

Bagaimana caranya untuk sampai ke Tasik Kawaguchi?

Bagi mereka yang berada di Tokyo ada boleh menggunakan perkhidmatan highway bus dengan bayaran 3,600 yen bagi perjalanan pergi dan balik. Boleh tempah disini HIGHWAYBUS. Perjalanan mengambil masa dua jam daripada Shibuya Station yang terletak di Shibuya Mark City. Kedudukan stesen bas ini berada di tingkat lima. Agak mengelirukan dan berfikiran macam tidak logik seketika apabila dapat tau kedudukan stesen bas. Tapi Japan, apa pun boleh jadi. 

Kalau boleh tempah tiket dengan lebih awal. Petugas kaunter akan memberi keutamaan kepada penumpang yang menempah tiket terlebih dahulu. Jika walk-in dan penuh, kena tunggu dan tanya driver.  Bayaran tiket pun atas bas.


Tiket pergi dan pulang


Musim sejuk. Snow merata.

Ogi (4)


Selepas menikmati keindahan sepanjang perjalanan selama dua jam, bas mula memasuki kawasan Kawaguchiko Station. Disebabkan saya menempah hostel di kawasan tasik, jadi bas yang dipilih adalah red/green line. Tak jauh pun dari stesen bas sebenarnya. Lebih kurang dalam 5 minit. 

Kedudukan hostel yang ditempah adalah berada dalam kawasan stesen Ogi (4). Jadi kat sini banyak hostel-hostel backpackers yang boleh dipilih dengan harga yang berpatutan. Kawasan yang strategik kerana terdapat seven-e dan juga kedai makanan halal pakistan di kawasan ini. 





Tempat Tinggal

Dua malam berada di kawasan ini saya memilih untuk tinggal di K's Mt Fuji. Rujuk link di sini untuk maklumat lanjut dan tempahan. Bagi saya sepanjang tiga hari dua malam berada disini, sangat-sangat berpuas hati kerana:

1. Kedudukan yang strategik

Tidak jauh dari kedai makanan halal dan tempat menunggu bas bernombor (4) Ogi. Selain itu, hostel ini tidak jauh dengan tasik kawaguchiko. Jalan kaki sekitar lima ke tujuh minit dah sampai.


2. Bilik yang sangat bersih
Bila berbicara mengenai Japan sudah pasti kebersihan dititikberatkan. Bilik bersih dan heater berfungsi dengan baik. Kalau jalan-jalan musim sejuk, perkara pertama yang difikirkan adalah heater. Tak dak heater tak boleh tidoq laaaaaa cheq oi. Masa saya berada di sini, suhu sekitar 6 hingga -3. Boleh bayang la kot. Dengan anginnya kuat. Abam ni dah la kurus, nasib baik pakai winter coat dan baju berlapis serta bagpack yang berat. Kalau tidak? melayang laa.. 


3. Tandas yang bersih
Sangat-sangat bersih. Kalau tinggal disini tak payah dah nak bawa shampo, sabun mandi segala bagai. Semua dah ada. Cuma tak dak sabun celah bedah. Melampau la kan kalau itu pun nak kena sedia.. nak buang air besar atau kecil, pilih la mengikut citarasa sama ada 'western' menjadi pilihan atau 'japan' yang terpikat dihati. Oishi!



4. Ruang makan dan dapur yang besar
Ruang makan dan dapur.. mak ai gedabak. Boleh main bola rasanya. Yang best sambil-sambil breakfast tu duduk berdua, facing Mt Fuji. Sangat romantikaaaa. Sweet-sweet sampai kencing manis lah. 

Semua kelengkapan lengkap. Nak p mancing kat tasik balik masak pun boleh. 

Ruang makan dan ruang menonton TV

Kawasan untuk menggilap dan serlahkan kemahiran memasak

Kelengkapan yang disediakan

Internet percuma

Sini la yang abam kata tu, boleh date sambil tengok Mt Fuji

Tu haaa.. Mt Fuji. Malu sikit. 


panduan sepanjang berada disini


Tempat-tempat yang sempat turun dan mengambil gambar sekeping dua sebagai kenangan adalah seperti berikut: 



Kawaguchiko-Ohashi Bridge (15)











Saiko Iyashi-no-sato Nenba (68)

Nenba merupakan salah satu kawasan yang terletak di utara tasik Saiko yeng menempatkan rumah-rumah ‘Kabuto-Zukuri’ di mana atapnya seakan helmet samurai. Ribut yang melanda kawasan ini pada tahun 1966 memusnahkan hampir keseluruhan kawasan dan dibina semula selepas 40 tahun dengan berlatarbelakangkan gunung fuji. Perkampungan yang dibina dan diberi nama ‘Saiko Iyashi no sato Nenba’ ini menguatkan lagi sejarah, budaya dan alam sekitar semula jadi kawasan ini. Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak 350 yen. Jika anda datang dengan menggunakan bas, tunjukkan pass dan bayaran yang dikenakan hanya 300 yen. Waktu operasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang. 

Ketika di kawasan ini juga saya sempat merasa mild snow, dan secara tidak langsung gunung fuji tidak kelihatan daripada kawasan ini. Terdapat beberapa muzium di kawasan ini dan bagi mereka yang ingin merasai pengalaman memakai baju samurai? Inilah tempatnya. Saya tak sempat pakai, sebab ramai sangat yang nak menjadi samurai ketika itu.






Mt. Kenashi Climbing Trail (60)




Fugaku Fuketsu (wind cave) (71)

Kawasan ini saya boleh katakan seperti Gua Kelam di Perlis baq hang! Bayaran 300 yen dikenakan. Gua angin yang bersuhu 3 darjah Celsius walaupun musim panas mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Apa yang istimewa? Air yang mengalir menjadi ais. Gua yang panjangnya 201 meter dan tinggi 8.7 meter ini mengambil masa 15 minit untuk meneroka sepenuhnya. Musim yang saya melawat adalah pada musim sejuk. Boleh bayangkan la betapa menjadi aisnya di dalam gua ini. Terasa sesak nafas macam tak cukup oksigen. Gua ini juga tempat menyimpan cacing-cacing sutera dan sebagainya. Ini yang dikatakan sebagai ‘natural refrigerator created by natural environment’.









Kawaguchiko Natural Living Centre (22)




Tips:
  1. Buat tempahan tiket bas dengan lebih awal.
  2. Beli 2 days pass masa naik bas di stesen kawaguchiko lagi. Bayaran semasa turun bas.
  3. Pilih hostel yang dekat dengan kedai serbaneka seperti seven-e, lawson dan kedai makanan halal
  4. Kena tinggal di kawasan ini sekurang-kurang 3 hari 2 malam sebab banyak tempat yang boleh melawat
  5. Buat la 'research' sikit. Cuaca dan sebagainya. Kalau dijangka hujan beli siap-siap baju hujan pakai buang. Kalau g time winter, bawa glove, winter coat yang tebal-tebal sikit. Sejuk sampai tulung rusuk. Bergetar tulang rusuk. Eh. 
  6. Bawa la duit. Itu yang penting.


Cerita mengenai OSAKA: KEINDAHAN OSAKA