Thursday, March 17, 2011

[Episod Satu] Persahabatan dan Takdir... menentukan segalanya...

Hari yang ku nanti-nantikan telah tiba. Petang yang indah itu merupakan subjek terakhir yang aku hadapi untuk peperiksaan STPM. Aku rasa dunia ini aku yang punya. Perkara yang berkaitan dengan pelajaran, tak usah aku fikirkan lagi. Semua itu, bagi aku hanya tinggal kenangan. Kawan-kawanku yang belum selesai lagi peperiksaan tersenyum sinis terhadapku. Hal ini kerana kelas aku merupakan kelas terawal selesai peperiksaan. Perbezaan tarikh peperiksaan ini adalah disebabkan berlainan subjek yang diambil.
“Wan! Hang nak pi mana? Tak mau enjoy dulu ka? Apa kata kita pi lepak-lepak dulu kat Bukit Ayaq,” kata Naim yang terkenal dengan dialek utaranya yang pekat. Dia juga merupakan kawan baikku. Sifatnya yang suka membuat lawak dan happy go lucky membuatkan aku berasa selesa berkawan dengannya.
“Ok juga cadangan hang. Jom,” jawabku kembali.
Setelah sampai di kawasan letak motosikal di sekolahku, hujan turun dengan lebatnya. Perancangan yang dibuat sebentar tadi terpaksa dibatalkan. Aku mengambil keputusan untuk pulang terus ke rumah. Aku berjabat salam dengan Karim terlebih dahulu sebelum menekan gear motosikal. Hari ini merupakan hari terakhir Karim berada di negeri ini, kerana keesokan harinya Karim akan bertolak ke London mengikuti keluarganya yang telah berada di sana sebulan sebelumnya.
Selepas selesai mandi, aku bersantai keseorangan di pondok atuk. Debaran peperiksaan sepanjang minggu peperiksaan ini telah hilang bersama-sama angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Sekarang aku perlu memikirkan apa yang perlu dibuat selepas ini. Aku dan kawan-kawan yang lain merancang untuk bekerja. Tanpa disedari jam di tangan menunjukkan pukul 7.30 malam. Cepat betul masa berlalu. Bergegas dengan pantas aku ke bilik air untuk mengambil wuduk.
“Wan, lepas ni Wan kena kerja. Mak dan ayah tak mau tengok Wan goyang kaki, makan dan tidur sahaja di rumah. Lagipun lepas ni dah tak sekolah, maksudnya lepas ni Wan dah tak dapat wang saku,” kata emak kepadaku sambil tersenyum.
Aku terdiam seketika. Aku faham maksud emak. Emak menyuruhku bekerja supaya aku mempunyai wang sendiri agar tidak membebani dia atau ayahku.
Lantas keesokan harinya tanpa membuang masa yang ‘emas’ itu, aku pergi mencari kerja. Setiap kedai, kilang dan pasaraya aku mengisi borang untuk bekerja. Tapi, aku ni cerewet sikit. Kalau nak tahu bola sepak merupakan nadiku. Jadi aku tidak mahu bekerja pada waktu malam. Hal ini kerana selalunya perlawanan bola sepak negeri akan diadakan pada waktu malam. Aku ni boleh dikategorikan sebagai gila bola. Walau sejauh mana aku pergi, jika ada perlawanan bola di negeriku sendiri, aku akan pulang.
Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Nama kawanku Zack, terpapar di skrin telefonku.
bersambung...

4 comments:

Comment