Wednesday, April 08, 2015

Kebiruan Lautan Pulau Gili dan Kehijauan muka bumi Lombok

Kebiruan Lautan Pulau Gili dan Kehijauan muka bumi Lombok


Sopan santun, berbudi bahasa, lembut susun atur katanya. Itulah perwatakan orang Lombok yang boleh saya definisikan selama empat hari berada di sana. Lombok merupakan sebuah pulau yang berada di Nusa Tenggara dan kedudukannya berada di sebelah barat Bali. Majoriti penduduk pulau ini berketurunan Sasak dan beragama Islam. Hari pertama setibanya di lapangan terbang antarabangsa Lombok masa dihabiskan dengan mengisi ‘visa on arrival’. Berbeza sebelum ini jika ke Indonesia ‘visa on arrival’ akan diberikan di atas kapal terbang tapi kini pelancong terpaksa mengisinya di terminal. Kawasan terminal lapangan terbang antarabangsa Lombok yang kecil sebesar lapangan terbang tempatan di Malaysia yang dimuatkan satu kawasan untuk imigresen dan mengambil bagasi dalam satu tempat. Waktu di Lombok sama seperti di Malaysia. Cuma waktu siang dan malamnya lebih cepat dari Malaysia.

Selesai segala urusan di lapangan terbang, pemandu saya sudah menunggu di luar terminal. Saya bersama rakan kali ini menggunakan perkhidmatan pemandu yang telah dihubungi menerusi jaringan sosial Instagram, Erwin Febriantara. Pilihan lain jika mahu ke kota Mataram iaitu satu-satunya kota Lombok atau ke Senggigi pelancong boleh juga mengambil bas Damri di luar lapangan terbang. Perjalanan dari airport ke Senggigi mengambil masa satu jam setengah. Jalan lengang, tidak sesibuk jalan seperti di Bali apatah lagi di Jakarta. Jika mahu ke lombok pelancong boleh memilih mahu menginap di Senggigi, Mataram, Kuta atau Gili Trawangan. Berdasarkan bacaan di blog-blog dan pemerhatian setelah sampai, Senggigi tempat paling sesuai untuk menginap disebabkan faktor geografinya yang berada di kawasan bukit-bukau dan kebanyakan kedudukan hotel di tepi pantai. Hotel di kawasan sekitar Senggigi mempunyai pelbagai harga mampu untuk menginap. Dari hostel dengan hanya RM30 satu malam sehinggalah resort yang berharga ribuan ringgit Malaysia. Pilihan kami kali ini memilih Sunsethouse Senggigi dengan harga RM150 untuk satu malam. Sebelum check in hotel kami dibawa untuk makan malam dengan makanan tempatan ayam taliwang. Ayam bakar dan terdapat perencahnya tersendiri yang agak pedas. Menurut Erwin, ayam tersebut disembelih ketika umurnya sekitar empat ke lima bulan. Erwin menceritakan serba sedikit aktiviti yang boleh dilakukan dan bakal dilakukan keesokan hari iaitu aktiviti pantai.

Gili salah satu tarikan





Gili merupakan pulau-pulau kecil yang terdapat di daerah Lombok. Hari Kedua seawal jam 8 pagi Erwin siap sedia menunggu untuk Gili tour di timur lombok yang mengambil masa 2 jam 30 minit masa perjalanan. Satu hari diperuntukkan untuk aktiviti pantai yang sememangnya menjadi pilihan saya setiap kali bercuti. Sepanjang perjalanan ke timur lombok boleh dikatakan setiap satu kilometer terdapat sebuah masjid. Menurut Erwin, Lombok juga terkenal dengan gelaran 'pulau seribu masjid' di mana majoriti penduduk di Lombok adalah beragama Islam. 'Cuma terdapat sedikit golongan minoriti iaitu Hinduisme yang rata-rata lari ke pulau Lombok semasa peperangan berlaku di Bali sudah lama dahulu' katanya lagi. Lebih jelas apabila melalui kota Mataram. Rakyat yang menganut agama hindu sedang membuat persiapan untuk hari Nyepi pada 21 Mac. Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang perjalanan kenderaan awam seperti angkot yang terkenal di Indonesia telah berkurangan akibat daripada pendapatan ekonomi keluarga meningkat dan rata-rata penduduk sudah memiliki kereta atau motosikal. Kereta kuda di Lombok dikenali sebagai Cidomo masih lagi digunakan di sekitar kota Mataram dan Senggigi. Setibanya di satu daerah Peringgabaya bot sudah menunggu kami untuk aktiviti laut iaitu Snorkeling. Pakej yang diambil sehari termasuk makan tengah hari, kenderaan bersama pemandu dan petrol dan peralatan snorkeling untuk sebiji kereta yang boleh muat 4 orang hanya 1.080.000 rupiah. Pengalaman seperti ini belum lagi saya temui berdasarkan beberapa pulau yang saya pergi sebelum ini. Yang menarik dan bertambah teruja apabila diberi peluang untuk melalukan aktiviti snorkelling di tengah laut di mana terdapat sesetengah tempat airnya Cuma paras dada. Pelbagai jenis ikan berwarna-warni dengan kepelbagaian hidupan laut yang dapat dilihat dengan mata kasar. Kawasan pokok bakau yang selalunya kelihatan di pesisir pantai, di Lombok hutan bakau di tengah-tengah laut. Kami juga dibawa ke Gili Kondo, Gili Petagan dan Gili Bidara. Selesai aktiviti sehingga matahari terbenam. Kami menuju ke hotel. Seharian berada di lautan dengan pengalaman menyelam ke dasar laut untuk melihat keindahan dasar laut ciptaan tuhan.



Kawasan muka bumi berbukit bukau

Hari ketiga tidak lagi menggunakan khidmat pemandu pelancong. Kami memilih untuk meneroka kawasan sekitar Senggigi sehingga ke Bangsal iaitu kawasan jeti untuk ke Gili Trawangan dengan menggunakan motosikal. Harga sewa motosikal untuk sehari Cuma RM18 bersamaan dengan 60.000 rupiah. Kepada pelancong yang ingin menyewa motosikal jangan lupa untuk meminta helmet kepada pemilik berkenaan. Hal ini kerana ada sesetengah tempat yang hanya memberikan motosikal sahaja kepada pelancong. Sepanjang jalan ke Bangsal kawasan jalan berbukit bukau menghijau dan kelihatan teluk di Malimbu I dan Malimbu II. Di sebelah kanan kelihatan pepohon menghijau manakala di sebelah kiri biru air lautnya sepanjang perjalanan ke Bangsal. Sepanjang jalan juga kelihatan penduduk-penduduk tempatan melakukan aktiviti perniagaan makanan dan minuman. Cuaca yang agak panas pada sebelah siangnya menyebabkan tekak terasa haus dan kelaparan. Kami singgah di salah satu kedai untuk menikmati ikan bakar dan air kelapa. Ikan yang segar dan sangat sedap. Menurut nenek berumur lebih kurang 70-an yang memiliki kedai tersebut, kawasan Malimbu terkenal dengan ikan bakar resipi tradisional lombok. Saya juga berjaya melihat proses di awal sehingga akhir proses ikan bakar tersebut kerana ia dibuat secara terbuka. Pengunjung boleh memilih sendiri ikan segar seperti ikan kakap untuk dibakar pedas atau biasa. Harga bagi seekor ikan bakar hanyalah 25.000 rupiah bersamaan dengan RM6.50. Sesampai di Bangsal motor di parkir di kawasan berbayar dengan hanya 5.000 rupiah bersamaan RM1.50 untuk sehari. Bangsal merupakan kawasan jeti yang menjadi tumpuan pelancong untuk ke Gili Trawangan, Gili Air dan, Gili Meno, Bali dan Pulau Komodo. Kami memilih untuk ke satu-satunya pulau besar di antara tiga gili iaitu Gili Trawangan. Pelancong boleh memilih untuk menaiki bot laju atau bot awam. Harga tiket untuk seorang dengan menggunakan boat laju 100.000 rupiah dan bot awam cuma 15.000 rupiah. Masa yang diambil juga berbeza di mana boat laju hanyalah mengambil masa 10 minit dan bot awam selama 45 minit untuk sampai ke Gili Trawangan. Gili Trawangan merupakan sebuah pulau yang menjadi pilihan pelancong-pelancong terutamanya dari negara barat. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti scuba diving, island hoping, snorkling dan sebagainya. Rata-rata warga tempatan hanyalah bekerja dan menjadi aktiviti laut sebagai sumber pendapatan mereka. Pengunjung boleh menginap di hotel dan resort-resort yang disediakan dengan pelbagai jenis harga yang ditawarkan. Terdapat pelabagi jenis kedai makanan yang menyediakan makanan laut yang segar. Tiada kenderaan berenjin seperti motosikal apatah lagi kereta. Pengunjung boleh menaiki Cidomo atau basikal untuk melawat kawasan pulau. Harga Cidomo berdasarkan jarak dan basikal boleh disewa dengan harga 50.000 rupiah sehari. Lebih menarik dan rasa selamat terdapat sebuah masjid di Gili Trawangan yang akan memasang bacaan ayat-ayat al-Quran 15 minit sebelum azan berkumandang untuk setiap waktu.



Malam di Senggigi





Aktiviti malam di Senggigi kebanyakan pelancong banyak menghabiskan masa makan malam bersama rakan atau keluarga dengan pelbagai jenis hidangan laut sambil diiringi alunan muzik secara langsung. Penat dengan aktiviti pada sebelah siangnya, saya bersama rakan sempat mencuba makanan laut di Senggigi sebelum pulang keesokan hari. Kami memilih Resto Rembulan untuk menikmati makan malam. Harga pakej diberikan sekitar RM24-30 atau 80.000-110.000 rupiah termasuk ikan kakap bakar, udang bakar, sate sotong, siput bakar, nasi putih dan pelecing kangkung khas lombok. Apa yang boleh saya katakan sangat sedap dan murah. Selain daripada makan malam, pelancong juga boleh merasai urutan tradisional lombok di samping alunan muzik yang dapat menenangkan minda buat seketika. Pelancong boleh memilih sama ada urutan kaki mahupun badan dengan harga 80.000 rupiah. 

Lombok mempunyai seni kraf tangan tersendiri seperti kain tenunan, dan seni kraf tangan berasaskan kayu yang boleh dibawa pulang sebagai buah tangan. Apa yang saya boleh katakan empat hari di Lombok belum cukup untuk melawat kesemua alam semula jadi yang masih kurang diterokai seperti Gunung Rinjani, Pantai Kuta, Bukit Merese, Tanjung Aan dan beberapa lagi tempat. Kepada pelancong gemarkan kedamaian dan mahu lari dari kesibukan kota mencari tempat yang lebih tenang Lombok boleh dijadikan sebagai salah satu tempat percutian.




Perbelanjaan:
Hotel Sunset House Sengigi - RM135-150
Motosikal RM18 / sehari
Tour RM300/ hari (per group) - lunch, supir, kenderaan, alatan snorkling (boleh bahagi dengan beberapa org yg join)
Airport transfer RM60 (sebiji avanza)
Speed boat ke Gili Trawangan RM30 sehala = 100ribu rupiah
Public boat RM6 = sekitar 15-20 ribu

Untuk memudahkan perjalanan, aturan tour, penginapan, island hoping dan sebagainya boleh contact:
Erwin
E-mail: rwnblack@yahoo.com
Wasap: +62818548087
wechat: erwinfebriantara







13 comments:

  1. Tumpang Tanya tuan. No yang tertera iaitu Erwin adlh trusted person ke utk dihubungi? beliau individual or travel agent? tq

    ReplyDelete
  2. Sudah semestinya trusted.. individu.. boleh hubungi dia thru instagram Erwin

    ReplyDelete
  3. salam, nak tanya.. yang trip ke gili kondo semua tu guna perkhidmatan erwin tu jugak ke?

    ReplyDelete
  4. ya saya gunakan perkhidmatan dia.. kecuali ke Gili Terawangan

    ReplyDelete
  5. Salam, nak tanya, overall brp harga utk khidmat erwin? Termasuk Rm300 utk tour?

    ReplyDelete
  6. As Salam, kamu tidak tinggal di gili T? Bagaimana pginapan d sana?

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum Tuan/Puan.

    Salam dari Elang Lombok Tour.
    Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Lombok Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

    ELANG LOMBOK TOUR
    Tour operator & Travel Agency

    Apa bila Tuan/Puan ingin melawat bersama family atau rakan-rakan kat Lombok island dan memerlukan kenderaan jangan risau hati, ELANG LOMBOK TOUR menyediakan PAKET TOUR dan PENGKHIDMATAN KENDERAAN dengan harga yang sangat berpatutan, dan dengan driver yang mesra, educated, baik hati,sopan dan sudah lama berpengalaman dalam memberikan pelayanan pada pelancong dari Malaysia. Menjadikan lawatan Tuan/Puan sangat berbaloi dan bermakna.

    Contact person :
    AFFANDI
    BBM 51fd8768
    Mobile : +62 8223 771 6583 ( WhatsApp )

    ReplyDelete
  8. speed boat ke gili dari bangsal 100 000 rupiah?sebab survey semua dalam 350 000 - 400 000 rupiah.. mohon pencerahan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. yaaa.. 100k. Sampai kat jetty nego la terlebih dahulu. Return IDR200K :)

      Delete
  9. tumpang tanya tuan, pakej snorkeling tu ambil di senggigi atau gili? atau pekej tu sekali dengan khidmat mas erwin tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. En Shamil, saya ambil pakej tu skali dengan khidmat Erwin :)

      Delete
  10. 2019 masih kena isi visa on arrival x?..

    ReplyDelete

Comment