Showing posts with label Jalan-Jalan. Show all posts
Showing posts with label Jalan-Jalan. Show all posts

Sunday, March 05, 2017

Fujisan daripada Tasik Kawaguchi dan Saiko

Sunday, March 05, 2017


Subhanallah! itu sahaja yang dapat diungkapkan apabila kaki kanan mula melangkah keluar daripada bas yang dinaiki semasa sampai di stesen kawaguchiko daripada Stesen Shibuya, Tokyo. Tasik Kawaguchi merupakan salah satu tasik daripada lima tasik yang terkenal sekitar Mt Fuji. Selain daripada tasik Kawaguchi, tasik Saiko juga merupakan salah satu tasik yang bersebelahan antara satu sama lain yang boleh dijadikan tempat untuk melihat Mt. Fuji. Terdapat pelbagai kemudahan dan tempat-tempat menarik yang boleh dilawati ketika berada di sini. Perancangan ke sini setelah berada di Tokyo empat hari sangat-sangat berbaloi.

Saya terangkan sedikit mengenai Mt. Fuji. Gunung Fuji merupakan satu-satunya gunung yang paling tinggi di Jepun dengan ketinggian 3776 Meter. Kedudukan Gunung Fuji adalah sekitar 100KM daripada ibu kota Tokyo. Pada musim panas iaitu sekitar Julai dan Ogos, gunung ini juga menjadi tumpuan pendaki. Gunung Fuji ini juga merupakan bekas gunung berapi dan letusan terakhir adalah pada 16 Disember 1707. Gunung fuji ini menjadi tarikan apabila tiba musim sejuk kerana gunungnya dilitupi oleh salji seperti 'ais krim mcd choco top'.

Kenapa tasik kawaguchi menjadi pilihan? Tasik Kawaguchi merupakan kawasan atau spot yang menarik untuk menikmati keindahan Mt. Fuji selain daripada melakukan aktiviti lain seperti memancing dan sebagainya. Pada pandangan mata saya sendiri, kawasan ini perlu dilawati kerana selain daripada pemandangan yang boleh dikategorikan indah dan sejuk mata memandang, kawasan sekitarnya juga mesra pelancong dan tenang. Tidak sibuk seperti hutan batu Tokyo. Jadi boleh lari seketika dan bermalam di sekitar tasik ini yang menyediakan pelbagai jenis hotel mahupun hostel dengan harga yang berpatutan bersesuaian dengan bajet. 

Selama tiga hari dua malam berada di tasik ini, saya menggunakan 2 days pass green dan red line bas dengan harga 1200 yen untuk dewasa dan 600 yen bagi kanak-kanak. Sangat-sangat berbaloi. Hal ini kerana terdapat lebih kurang 77 tempat berhenti yang anda boleh lawati untuk menikmati keindahan tasik kawaguchiko dan tasik saiko. 

Bagaimana caranya untuk sampai ke Tasik Kawaguchi?

Bagi mereka yang berada di Tokyo ada boleh menggunakan perkhidmatan highway bus dengan bayaran 3,600 yen bagi perjalanan pergi dan balik. Boleh tempah disini HIGHWAYBUS. Perjalanan mengambil masa dua jam daripada Shibuya Station yang terletak di Shibuya Mark City. Kedudukan stesen bas ini berada di tingkat lima. Agak mengelirukan dan berfikiran macam tidak logik seketika apabila dapat tau kedudukan stesen bas. Tapi Japan, apa pun boleh jadi. 

Kalau boleh tempah tiket dengan lebih awal. Petugas kaunter akan memberi keutamaan kepada penumpang yang menempah tiket terlebih dahulu. Jika walk-in dan penuh, kena tunggu dan tanya driver.  Bayaran tiket pun atas bas.


Tiket pergi dan pulang


Musim sejuk. Snow merata.

Ogi (4)


Selepas menikmati keindahan sepanjang perjalanan selama dua jam, bas mula memasuki kawasan Kawaguchiko Station. Disebabkan saya menempah hostel di kawasan tasik, jadi bas yang dipilih adalah red/green line. Tak jauh pun dari stesen bas sebenarnya. Lebih kurang dalam 5 minit. 

Kedudukan hostel yang ditempah adalah berada dalam kawasan stesen Ogi (4). Jadi kat sini banyak hostel-hostel backpackers yang boleh dipilih dengan harga yang berpatutan. Kawasan yang strategik kerana terdapat seven-e dan juga kedai makanan halal pakistan di kawasan ini. 





Tempat Tinggal

Dua malam berada di kawasan ini saya memilih untuk tinggal di K's Mt Fuji. Rujuk link di sini untuk maklumat lanjut dan tempahan. Bagi saya sepanjang tiga hari dua malam berada disini, sangat-sangat berpuas hati kerana:

1. Kedudukan yang strategik

Tidak jauh dari kedai makanan halal dan tempat menunggu bas bernombor (4) Ogi. Selain itu, hostel ini tidak jauh dengan tasik kawaguchiko. Jalan kaki sekitar lima ke tujuh minit dah sampai.


2. Bilik yang sangat bersih
Bila berbicara mengenai Japan sudah pasti kebersihan dititikberatkan. Bilik bersih dan heater berfungsi dengan baik. Kalau jalan-jalan musim sejuk, perkara pertama yang difikirkan adalah heater. Tak dak heater tak boleh tidoq laaaaaa cheq oi. Masa saya berada di sini, suhu sekitar 6 hingga -3. Boleh bayang la kot. Dengan anginnya kuat. Abam ni dah la kurus, nasib baik pakai winter coat dan baju berlapis serta bagpack yang berat. Kalau tidak? melayang laa.. 


3. Tandas yang bersih
Sangat-sangat bersih. Kalau tinggal disini tak payah dah nak bawa shampo, sabun mandi segala bagai. Semua dah ada. Cuma tak dak sabun celah bedah. Melampau la kan kalau itu pun nak kena sedia.. nak buang air besar atau kecil, pilih la mengikut citarasa sama ada 'western' menjadi pilihan atau 'japan' yang terpikat dihati. Oishi!



4. Ruang makan dan dapur yang besar
Ruang makan dan dapur.. mak ai gedabak. Boleh main bola rasanya. Yang best sambil-sambil breakfast tu duduk berdua, facing Mt Fuji. Sangat romantikaaaa. Sweet-sweet sampai kencing manis lah. 

Semua kelengkapan lengkap. Nak p mancing kat tasik balik masak pun boleh. 

Ruang makan dan ruang menonton TV

Kawasan untuk menggilap dan serlahkan kemahiran memasak

Kelengkapan yang disediakan

Internet percuma

Sini la yang abam kata tu, boleh date sambil tengok Mt Fuji

Tu haaa.. Mt Fuji. Malu sikit. 


panduan sepanjang berada disini


Tempat-tempat yang sempat turun dan mengambil gambar sekeping dua sebagai kenangan adalah seperti berikut: 



Kawaguchiko-Ohashi Bridge (15)











Saiko Iyashi-no-sato Nenba (68)

Nenba merupakan salah satu kawasan yang terletak di utara tasik Saiko yeng menempatkan rumah-rumah ‘Kabuto-Zukuri’ di mana atapnya seakan helmet samurai. Ribut yang melanda kawasan ini pada tahun 1966 memusnahkan hampir keseluruhan kawasan dan dibina semula selepas 40 tahun dengan berlatarbelakangkan gunung fuji. Perkampungan yang dibina dan diberi nama ‘Saiko Iyashi no sato Nenba’ ini menguatkan lagi sejarah, budaya dan alam sekitar semula jadi kawasan ini. Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak 350 yen. Jika anda datang dengan menggunakan bas, tunjukkan pass dan bayaran yang dikenakan hanya 300 yen. Waktu operasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang. 

Ketika di kawasan ini juga saya sempat merasa mild snow, dan secara tidak langsung gunung fuji tidak kelihatan daripada kawasan ini. Terdapat beberapa muzium di kawasan ini dan bagi mereka yang ingin merasai pengalaman memakai baju samurai? Inilah tempatnya. Saya tak sempat pakai, sebab ramai sangat yang nak menjadi samurai ketika itu.






Mt. Kenashi Climbing Trail (60)




Fugaku Fuketsu (wind cave) (71)

Kawasan ini saya boleh katakan seperti Gua Kelam di Perlis baq hang! Bayaran 300 yen dikenakan. Gua angin yang bersuhu 3 darjah Celsius walaupun musim panas mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Apa yang istimewa? Air yang mengalir menjadi ais. Gua yang panjangnya 201 meter dan tinggi 8.7 meter ini mengambil masa 15 minit untuk meneroka sepenuhnya. Musim yang saya melawat adalah pada musim sejuk. Boleh bayangkan la betapa menjadi aisnya di dalam gua ini. Terasa sesak nafas macam tak cukup oksigen. Gua ini juga tempat menyimpan cacing-cacing sutera dan sebagainya. Ini yang dikatakan sebagai ‘natural refrigerator created by natural environment’.









Kawaguchiko Natural Living Centre (22)




Tips:
  1. Buat tempahan tiket bas dengan lebih awal.
  2. Beli 2 days pass masa naik bas di stesen kawaguchiko lagi. Bayaran semasa turun bas.
  3. Pilih hostel yang dekat dengan kedai serbaneka seperti seven-e, lawson dan kedai makanan halal
  4. Kena tinggal di kawasan ini sekurang-kurang 3 hari 2 malam sebab banyak tempat yang boleh melawat
  5. Buat la 'research' sikit. Cuaca dan sebagainya. Kalau dijangka hujan beli siap-siap baju hujan pakai buang. Kalau g time winter, bawa glove, winter coat yang tebal-tebal sikit. Sejuk sampai tulung rusuk. Bergetar tulang rusuk. Eh. 
  6. Bawa la duit. Itu yang penting.


Cerita mengenai OSAKA: KEINDAHAN OSAKA

Monday, November 14, 2016

Ada apa dengan Kobe dan Osaka? Pemandangan? Seni bina Bangunan atau Penduduknya...

Monday, November 14, 2016

Negara yang mempunyai pelabuhan laut memainkan peranan penting dalam mempertingkat ekonomi setempat di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi Negara. Kesannya aktiviti perdagangan dapat diperkembangkan sehingga dapat memajukan sesebuah negara. Hal ini kerana selain daripada proses urus niaga menggunakan pengangkutan darat dan udara, pemilihan laut juga merupakan pengangkutan perdagangan yang jimat dan efektif dari segi kos.

Salah satu Negara yang dimaksudkan mempunyai banyak [pelabuhan adalah Negara kepulauan matahari terbit iaitu Jepun] yang menjadikan ia sebagai salah sebuah negara maju. Sebanyak 169 pelabuhan laut yang utama di Jepun. Saya berkesempatan melawat salah satu wilayah di Negara Jepun iaitu Hyogo yang melibatkan kawasan metropolitan terdekat Kobe dan Osaka. Kobe merupakan Bandar keenam terbesar manakala Osaka merupakan bandar metropolitan kedua selepas Tokyo. Kobe dan Osaka juga menempatkan salah satu pelabuhan laut khas iaitu Container Terminal.

Perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Kansai mengambil masa lebih kurang tujuh jam masa penerbangan. Sebelum ini memang memasang impian untuk sampai ke negara matahari terbit selepas mendengar pengalaman dari Rostinor sebagai seorang pelancong dan Sabri yang sedang melanjutkan pengajian PhD di Tokyo. Alhamdulillah. Allah is the best planner. Rezeki dapat menjejakkan kaki ke Negara Nippon akhir Oktober 2016 untuk membentangkan kertas kerja semasa persidangan IAFOR di Kobe.

Sebelum bertolak lagi, saya sudah melakukan sedikit ‘homework’ mengenai suhu dan cuaca serta tempat menarik yang boleh dikunjungi bagi melancarkan lagi perjalanan sepanjang berada di Kobe. Musim Autumn menambat hati saya setelah keluar daripada terminal utama untuk mengambil bas ke Kobe. Kehangatan cinta di kala dingin. Mungkin kata-kata itu sesuai diungkapkan mengenai cuaca sepanjang saya berada di Kobe iaitu sekitar 19-10 darjah Celsius. Sikap rakyat Jepun yang kaya dengan budi bahasa dari segi sikap, kelakuan dan tutur kata serta menghormati pelancong tidak kira apa jua warna kulit mengutuhkan lagi rasa cinta terhadap negara kepulauan Asia Timur ini.

Tempat Menarik di Kobe dan Osaka

Kobe

Perjalanan ke Kobe daripada lapangan terbang antarabangsa Kansai, pelancong boleh menggunakan pengangkutan darat seperti bas, keretapi dan pengangkutan laut dengan menggunakan feri. Saya memilih perkhidmatan bas yang disediakan di luar lapangan terbang terminal satu Kansai dengan harga 3080 yen untuk tiket pergi dan pulang. Perjalanan ke Kobe daripada lapangan terbang mengambil masa satu jam 15 minit untuk sampai ke Sannomiya Station. Terdapat beberapa tempat menarik di sekitar Kobe yang sempat saya lawati antaranya:

 Platform 6 untuk membeli tiket ke Kobe

 Sistematik - semua beg penumpang diletakkan tag

Bas dilengkapi toilet dan tidak dibenarkan untuk bercakap menggunakan telefon sepanjang perjalanan

Masjid Kobe
Masjid yang berada di Kobe ini merupakan satu-satunya masjid yang tertua di Negara Jepun yang dibina pada tahun 1935. Masjid yang terletak di Nakayamate Dori, Chuo-ku mengambil masa lebih kurang 10 minit berjalan kaki daripada Sannomiya Station, Kobe. Terdapat pembantu di dalam masjid yang boleh menerangkan serba sedikit mengenai masjid ini. Semasa perang dunia kedua, keseluruhan kawasan sekitar musnah. Malah struktur bangunan sekitar masjid turut roboh. Akan tetapi, dengan kuasa Tuhan masjid ini tetap utuh. Cuma terdapat sedikit keretakan pada dinding dan cermin tingkap pecah. Pada tahun 1995, sekali lagi Kobe dilanda musibah apabila gempa bumi hampir memusnahkan bandar Kobe. Sama seperti peristiwa perang dunia kedua, masjid ini tetap berdiri dengan kuat. Peristiwa ini mengembalikan kisah Masjid Raya Baiturrahman dan Masjid Rahmatullah semasa peristiwa Tsunami di Aceh pada tahun 2004. 
Pemandangan masjid daripada luar

Pintu Masjid

Keadaan kawasan untuk mengambil wuduk sangat bersih

Ekoran daripada negara yang bermusim air boleh dipilih sama ada sejuk atau panas

Senibina dalaman masjid

Acah-acah

Dari sudut depan

Kedai barangan halal yang diusahakan oleh penduduk dari Pakistan
kat depan kedai ada 'Visit Malaysia' lagi..

Ikano Ijinkan
Kawasan yang dikenali sebagai Kitano-cho merupakan kawasan tempat tinggal yang berbukit bukau Gunung Rokko. Kawasan ini pada awalnya adalah tempat tinggal ahli diplomat setelah pembukaan pelabuhan Kobe pada abad ke-19. Terdapat pelbagai jenis rumah yang struktur dan reka bentuk adalah daripada negara asal seperti Itali, England, Perancis, Denmark dan sebagainya. Kedudukan kawasan tumpuan pelancong ini adalah tidak jauh daripada Masjid Kobe. Alang-alang sampai di kawasan ini jangan lupa singgah di Starbucks yang menggunakan rumah reka bentuk negara barat.


Starbucks yang menggunakan rumah lama sebagai coffee shop



Pemandangan Kobe dari Bukit yang menempatkan kawasan rumah lama dekorasi dari negara barat







Kobe Port Tower
Hampir 20 minit berjalan kaki daripada Sannomiya Station, Kobe Port Tower merupakan mercu tanda Bandar Kobe. Bagi saya kawasan ini sesuai dilawati pada waktu malam. Mengapa? Kerana selain daripada Kobe Port Tower, Kobe Harboland (Mosaic) dan Muzium Maritim Kobe akan bermandikan cahaya bewarna warni.

Kobe Port Tower




Kobe Chinatown
Juga dikenali sebagai Nankinmachi, Kobe Chinatown merupakan salah satu tempat yang boleh dilawati dan merupakan kawasan atau tempat berkumpul bagi komuniti Cina. Pelbagai jenis makanan dan barangan daripada China terdapat di sini. Lalu lorong ini ingatan saya tertumpu pada Petaling Street di KL.


Sannomiya Centre Street  
Nafsu perlu dikawal apabila masuk ke kawasan ini. Barangan seperti tas tangan lelaki dan wanita dijual dengan harga yang berpatutan. Malah suit bagi lelaki yang lengkap (Blazer + Seluar + Vest) dijual dengan harga 5,000 yen sehingga 10,000 yen sahaja. Pelbagai jenis warna dan kain boleh dipilih. Bagi saya Japan merupakan kota fesyen. Manakan tidak, penduduknya daripada yang berumur lingkungan 70 tahun masih lagi bergaya dengan pakaian dan make-up bagi wanita. Manakala lelaki sudah semestinya suit lengkap.






Osaka

Sepanjang lima hari empat malam di Jepun saya juga sempat mencuri sehari untuk melawat kota metropolitan kedua terbesar selepas Tokyo iaitu Osaka. Terdapat pelbagai tempat yang boleh dilawati daripada struktur bangunan lama sehinggalah yang terkini. Antaranya ialah Osaka Castle, Umeda Sky Building, Mino Park, Namba, Dotunburi, Universal Studio Osaka.


Umeda Sky Building
Bangunan yang paling dekat dan mudah untuk dilawati adalah Umeda Sky Building. Keluar sahaja daripada Osaka Station terus nampak bangunan ini. Bayaran masuk 1000 yen untuk melihat pemandangan daripada menara ini. Berketinggian 170 meter pemandangan dari atas boleh dilihat 360 darjah.



Dotonbori - Minami (Namba)
Berdekatan dengan Namba Station, kawasan ini merupakan salah satu pusat bandar yang menjadi tarikan pelancong dan penduduka tempatan. Nak shopping atau makan? ini lah kawasannya. Manusia meremut macam semut. Itu yang boleh digambarkan. Tarikan mercu tanda utama kawasan ini adalah terhadap satu gambar lelaki 'Glico Running Man' yang tengah tengah berusaha menamatkan larian. Ada kedai makan yang buka 24 jam. Saya tercari-cari juga makanan yang boleh dimakan. Duduk dan search di [trip advisor]. Anda boleh mencuba takoyaki di [Creo-Ru Dotonbori]. Area ni pun ada jual fridge magnet yang berharga sekitar 400-500 yen.

Dotonbori di sebelah petang menjelang maghrib


Tetiba ada muka kat skrin

Menurut tripadvisor takoyaki ini boleh dimakan oleh muslim

Lelaki pujaan di Dotonbori


Osaka Castle
Daripada Osaka Station terus amik train untuk ke Istana Osaka. Station train yang terdekat dengan istana tersebut adalah Osakajo-koen. Keluar ja dah nampak petunjuk untuk ke Istana Osaka. Berdekatan dengan train station ni ada kenderaan ala-ala keretapi untuk ke Istana Osaka. Bayaran yang dikenakan adalah sekitar 300-500 yen. Kalau nak perjalanan yang lebih bermakna, jalan kaki ja. Macam-macam pemandangan boleh lihat. Toleh kanan nampak hutan batu bata. Toleh kiri sejuk mata memandang, daun pohon-pohon kekuningan musim autumn.

Istana yang dibina pada tahun 1583 merupakan salah satu istana peninggalan budaya yang masih dijaga dibawah pemerintahan Jepun. Selain itu, ia juga merupakan salah satu istana yang popular di Osaka. Harga yang dikenakan adalah sebanyak 600yen untuk menara istana.





Osaka Castle

Pemandangan di hadapan Osaka Castle

Muzium Maritim Osaka

Hard Rock Cafe Osaka

Perancangan Route:

Perancangan jalan-jalan sekitar Osaka adalah seperti berikut. Saya banyak menggunakan kaki untuk berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain. Penggunaan train hanyalah ke tempat-tempat utama sahaja. Bermula di Osaka Station dan berjalan kaki ke Umeda Sky Building. Berjalan kaki kembali ke  Osaka Station untuk menghambil train ke  Osakajo-koen Station dan berjalan kaki ke Osaka Castle.

Setelah selesai melawat terus menapak ke Hard Rock Kafe. Mengambil train daripada Hommachi Station  ke Namba Station dan berjalan kaki ke Dotonbori. Berjalan kaki ke  Namba Station dan naik train ke Station Sannomiya untuk pulang (Kobe).

Beberapa tips yang saya boleh kongsikan adalah seperti berikut:

  • Cuaca dan Musim: Pastikan anda mengetahui cuaca dan musim ketika berada di Japan supaya pakaian yang sesuai dibawa untuk dipakai di sana. Boleh semak di [Accuweather]. Kalau dijangka hujan bawa siap-siap baju hujan plastik beli kat watson atau guardian. RM3 sahaja.
  • Route: Rancang perjalanan dan penginapan. Untuk route boleh semak di laman web [hyperdia.com] untuk mengetahui waktu terperinci train yang sesuai dan kos untuk satu-satu perjalanan. Bagi apps boleh muat turun di [Hyperdia - Japan Rail Search] (playstore) atau [Tabimori] (itunes)
  • Pocket Wifi: Penggunaan pocket wifi amat digalakkan. Boleh sewa ini [Wiyo] di Malaysia atau [Ninja Wifi] di Japan. Saya menggunakan Ninja Wifi di Japan kerana dapat voucher free selama empat hari. 
  • Makan: Makanan yang boleh dimakan adalah Onigiri Tuna atau Tuna dan Mayo yang berharga sekitar 100-110 yen yang terdapat di Seven E, Lawson. Bawa makanan dari Malaysia Brahim dan sebagainya
  • Makanan Halal di Kansai Airport: Bagi mereka yang menggunakan lapangan terbang Kansai sebagai tempat permulaan perjalanan atau pengakhiran perjalanan anda boleh makan makanan Jepun seperti Udon di Lapangan Terbang Kansai yang berada di tingkat 2 berhadapan dengan Starbucks dan balai ketibaan penumpang domestik. 
  • Drop Luggage di Kansai Airport: Bagi penumpang MAS anda boleh drop luggage di Ting 4 Lapangan Terbang Kansai bertempat di Kaunter D1. Kaunter akan dibuka tepat jam 8 pagi waktu Jepun. Bagi mereka yang menggunakan AirAsia anda boleh terus ke kaunter G untuk membuat pengesahan boarding pass dan sebagainya. Sila pastikan beg anda 7KG dan kebawah untuk AirAsia. Lebih anda kena drop luggage dengan bayaran sekitar 6000 yen bagi 10KG. 
  • Teksi: Hindarkan diri anda daripada menggunakan teksi. Hal ini kerana teksi merupakan pengangkutan awam yang paling mahal di Jepun. Naik saja belum jalan, meter dah automatik keluar 680 yen. Naik train dari Kobe ke Osaka baru 410 yen. 
  • Malu bertanya sesat jalan: Kalau tak tahu anda boleh tanya orang Jepun yang sangat sangat sangat membantu. Itu sahaja yang boleh saya katakan.
  • Hard Rock Cafe: Jika niat untuk membeli cendramata daripada Hard Rock Café,  boleh terus ke Universal Studio Osaka. Pilihan banyak di sana. 
  • Fridge magnet: kalau dapat harga dibawah 400 yen itu tolong beli ya. Ia dikira sangat murah. Kebanyakan tempat menjual 400-500 yen. Saya ada ternampak fridge magnet di Lawson yang berdekatan dengan Osakajo-koen Station dalam perjalanan ke Osaka Castle yang berharga 380 yen.
  • Surau: Kalau jalan cuci mata area Dotonbori boleh terus ke Tourist Information Centre. Situ ada surau dan toilet. Boleh la nak regang-regang kaki dulu sebelum sambung berjalan. Free wifi pun ada disitu.



 Makanan halal di Kobe. Tak jauh dari masjid Kobe



 Onigiri Tuna Mayo

 Surau berdekatan dengan Dotonbori



 Takoyaki


 Pocket Wifi Ninja

Aplikasi Tabimori di Apple Store