Showing posts with label Holiday. Show all posts
Showing posts with label Holiday. Show all posts

Wednesday, August 12, 2015

Mahu ke LUAR NEGARA dengan penginapan PERCUMA? Lagi-lagi RM tengah jatuh. Anda boleh lakukannya.

Wednesday, August 12, 2015
FREE?

Tidur di Airport?

Tidur di Train Station?

Tidur di kaki lima?

Tidur di mana-mana?

Semuanya tidak sama sekali.




Saya mahu kongsi kan bagaimana kaki jalan boleh mendapatkan penginapan dengan percuma. Di luar negara.

Pernah dengar COUCHSURFING?



COUCHSURFING – merupakan satu projek yang dinamakan THE COUCHSURFING PROJECT yang menyediakan perkhidmatan penginapan seluruh dunia dengan percuma melalui internet. Bukan MIMPI tetapi ini KENYATAAN. Ya KENYATAAN!

Dianggarkan lebih 600 ribu keahlian dari 231 buah negara buat masa sekarang.


Tak mahu bebel panjang.



Ikuti cara-cara berikut:





2. Nanti update la profile.




3. Anda boleh cari hosts negara mana yang anda nak. Sebagai contoh > Oslo, Norway




4. Dah search pilih hosts yang ACCEPTING GUESTS dan banyak maklum balas positif oleh pelancong yang telah menggunakan perkhidmatan mereka sebagai tuan rumah.





5. Just clik sapa-sapa yang nak, boleh baca dia punya profila dan kalau berminat SEND REQUEST!




Sekurang-kurangnya dapat menjimatkan wang bagi yang nak travel tapi bajet kurang. At the same time dapat gain experience and networking all around the world. Tapi kurang sesuai yang nak bawa anak, bini kot. 

Wednesday, June 17, 2015

Ao Nang, Krabi Mencipta Kelainan - konvoi berkereta ke Krabi

Wednesday, June 17, 2015



Masih relevan dan sesuai sebagai tempat berbulan madu atau bercuti bersama keluarga Ao Nang, Krabi semestinya perlu dilawati dan dijadikan salah satu tempat pilihan untuk kembara luar negara. Kebanyakan pelancong menggunakan perkhidmatan udara untuk sampai ke Krabi, Thailand. Tetapi bagi saya sekeluarga, konvoi berkereta semasa cuti persekolahan baru-baru ini mencipta kelainan dalam kembara luar negara. Bagi mereka yang ingin menggunakan jalan darat ke Ao Nang Krabi, pelancong boleh menggunakan laluan jalan darat dengan menggunakan pintu masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam (Kedah) – 343KM, Padang Besar (Perlis) – 364KM atau Wang Kelian (Perlis) – 335KM. Jika ingin menjimatkan masa berdasarkan laluan yang telah dicuba pelancong boleh menggunakan laluan Wang Kelian – Satun – Trang – Krabi kerana jaraknya 335KM malah lebih singkat berbanding menggunakan laluan sempadan Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah. Bagi pelancong yang memilih jalan darat sebagai laluan ke Ao Nang Krabi, anda dikehendaki mengisytiharkan kereta yang hendak di bawa di kaunter imigresen Thailand. Dokumen yang diperlukan adalah dokumen asal atau salinan geran kereta di samping passport pemilik kereta. Sila pastikan minyak kenderaan secukupnya kerana harga minyak Ron95 di Thailand lebih mahal berbanding Malaysia. Perjalanan ke Ao Nang, Krabi mengambil masa lebih kurang  4 jam 30 minit untuk sampai ke destinasi yang dituju. Bagi pelancong yang baru pertama kali ingin menjejaki salah satu tempat peranginan negara gajah putih ini, boleh memilih untuk menginap di kawasan pantai Ao Nang. Perjalanan ke Ao Nang Krabi dengan menggunakan jalan darat memberi seribu satu pengalaman dan pemandangan yang berbeza apabila laluan yang digunakan menyusuri hutan hujan tropika dan berbukit bukau. Terasa sejuk mata memandang sambil memandu apabila melihat kehijauan pokok-pokok hutan liar dan kadangkala disulami dengan pokok getah yang dimiliki oleh penduduk tempatan sepanjang perjalanan menuju ke Ao Nang. Hari yang agak bertuah apabila kami juga berpeluang melihat binatang yang menjadi mercu tanda Thailand iaitu Gajah liar di tepi jalan semasa menuju ke Ao Nang. Setelah 4 jam  lebih memandu perasaan letih hilang digantikan dengan perasaan yang semakin teruja untuk eksplorasi Krabi apabila pintu gerbang ‘Welcome to Krabi’ sudah kelihatan. Persekitaran Ao Nang yang berbukit bukau dan berpantai menjadi penghubung kepada pulau-pulau lain sekitarnya seperti Chicken Island, Poda Island, Phi Phi Island, Tup Island dan pulau-pulau yang lain.

Makanan
Sepanjang 3 hari 2 malam berada di Krabi, pemilihan makanan tidak sukar kerana terdapat kawasan penduduk di sekitar Ao Nang yang beragama Islam. Kalau nak diikutkan terdapat pelbagai kedai makan di tepi jalan Ao Nang yang menawarkan pelbagai juadah makanan sama ada waktu sarapan pagi, tengah hari mahupun makan malam. Tetapi bagi pelancong yang beragama Islam pemilihan kedai perlu dititikberatkan. Bagi yang terdapat keraguan, 500 meter dari laluan pantai terdapat sebuah masjid dan kawasan sekitarnya terdapat pelbagai restoran makanan Muslim halal. Harga yang ditawarkan sesuai dengan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. Harga semangkuk Tom yam sekitar 100 baht.  Bagi pelancong yang menyukai makanan laut boleh dikatakan semua restoran menawarkan pelbagai jenis ikan, udang, ketam untuk dimasak berdasarkan pemilihan masakan yang telah disediakan di dalam menu makanan. Sesi jual beli tidak terlalu sukar semasa membeli makanan kerana kebanyakannya peniaga atau pekerja yang beragama Islam datang dari Wilayah Pattani atau Satun dan boleh berinteraksi dengan menggunakan bahasa Melayu.  Selain itu, semasa waktu sarapan pagi terdapat juga pulut mangga dengan harga 20 baht dan nasi ‘kawmok kai’ atau dikenali sebagai nasi kuning berempah ayam dengan harga 50 baht.

Penginapan dan kenderaan awam
Apabila membawa kenderaan sendiri sudah pasti masalah tempat letak kereta diutamakan. Hal ini kerana kebanyakan hotel di sekitar Ao Nang tidak mempunyai tempat letak kereta. Pastikan pemilihan hotel sesuai dengan keadaan semasa melancong. Bagi yang membawa kenderaan sendiri hotel yang dipilih perlu mempunyai tempat letak kereta supaya urusan keluar masuk lebih menyenangkan.  Saya dan keluarga memilih Ao Nang Beach Resort yang bertentangan dengan pantai Ao Nang di mana harga bermula dari 700 baht. Parking awam di jalan Ao Nang tidak dikenakan bayaran tetapi tempatnya adalah terhad. Bagi saya dan keluarga kami parkir kereta di hotel dan menggunakan kenderaan awam tut-tut untuk ke destinasi pilihan. Harga tut-tut sekitar 40 baht seorang berdasarkan jarak laluan yang hendak dituju.



Aktiviti dan tempat menarik
Thailand terkenal dengan pelbagai tempat tarikan seperti gua kerana bentuk muka buminya berbukit bukau, kolam air panas, air terjun selain daripada pulau-pulau yang cantik. Menjadi lebih mudah apabila membawa kenderaan sendiri kerana dapat singgah di beberapa tempat menarik tumpuan pelancong tempatan mahupun asing terlebih dahulu sebelum sampai ke destinasi. Sepanjang jalan dari sempadan Malaysia ke Ao Nang, Krabi kami sempat singgah di Gua Le Khaokob dan Emerald Pool. Gua Le Khaokob ini memerlukan pelancong menyewa sampan untuk masuk ke dalam gua. Harga untuk sebuah sampan 900 baht untuk menyusuri sungai di bawah bukit dan melihat struktur gua batu kapur ini. Sebuah sampan bolah dinaiki enam orang berdasarkan bentuk fizikal seseorang. Dalam jarak 70KM menuju ke pantai Ao Nang satu lagi tempat yang menarik perhatian pelancong ialah Emerald Pool. Bayaran yang dikenakan untuk pelancong asing sebanyak 200 baht dan kami perlu berjalan kaki sejauh 800 meter untuk sampai ke kolam yang menjadi tumpuan dari kaunter bayaran masuk.







Masuk hari kedua di Ao Nang, Krabi, tidak sah jika ke Ao Nang, Krabi tidak melakukan aktiviti Island Hoping dan menaiki gajah. Hari kedua kami memilih aktiviti tersebut dengan membeli pakej yang terdapat di deretan kedai yang menawarkan pelbagai aktiviti dengan harga yang berbeza. Bagi island hoping pelancong boleh memilih untuk menggunakan bot laju atau long tail boat. Bagi saya dan keluarga kami memilih untuk  menggunakan long tail boat dengan harga bagi seorang 350 baht termasuk makan tengah hari yang dihidangkan secara buffet. Harga tersebut juga termasuk dengan peralatan snorkeling. Sebanyak lima pulau yang mempunyai keunikan yang tersendiri dibawa oleh pemandu pelancong. Pulau yang dibawa untuk melakukan aktiviti snorkeling adalah Tup Island, Poda Island, Chicken Island dan beberapa pulau lagi. Setiap pulau mempunyai daya tarikan seperti kelainan hidupan laut seperti ikan, rumpai laut dan  batu karang yang berwarna-warni.  Kami dibenarkan oleh pemandu pelancong untuk meletakkan roti di permukaan lautan bagi menarik perhatian ikan yang mempunyai pelbagai warna  dan saiz yang mendiami dasar laut.







Selain daripada melakukan aktiviti Island Hoping, kami sekeluarga juga melakukan aktiviti menaiki gajah yang tidak pernah saya lakukan selama ini. Ini pengalaman pertama menaiki gajah yang telah dijinakkan. Safari Elephant Trekking merupakan salah satu tempat bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti menaiki gajah. Jarak dari pantai Ao Nang sekitar 5KM. Bagi aktiviti ini kami tidak menggunakan agensi untuk sampai ke sini. Hanya mengambil tut-tut dan beritahu tempat yang ingin dituju. Harga tut-tut yang dikenakan sebanyak 400 baht bagi sebuah tut-tut untuk perjalanan pergi dan balik yang boleh dinaiki 4-5 orang dewasa. Harga yang dikenakan adalah sebanyak 350 baht seorang untuk menaiki gajah selama 30 minit. Oleh kerana bentuk fizikal gajah yang begitu besar pelancong perlu menaiki gajah mengikut pelantar yang disediakan. Laluan yang digunakan agak mencabar dengan menyusuri hutan berbukit bukau dan laluan sungai kadangkala berasa tidak keseimbangan berlaku akibat ketakutan.



Pada sebelah malam aktiviti ke Krabi Night Market menjadi tumpuan. Dibuka pada setiap hujung minggu dengan menjual pelbagai barangan seperti pakaian, makanan dan hasil kraf tangan atau seni penduduk tempatan. Saya sempat membeli potret sendiri yang dilakar oleh salah seorang penjual dengan harga 100 baht sebagai tanda kenang-kenangan



Deretan kedai Ao Nang Street
Terdapat pelbagai kedai sepanjang jalan Ao Nang. Kedai-kedai cenderamata yang menjual beg, rantai kunci fridge magnet dan pelbagai seni kraf tangan tempatan.  Rata-rata kedai di kawasan ini dibuka seawal 8 pagi jam Thailand dan tutup jam 12 tengah malam. Harga satu fridge magnet sekitar 40 baht dan sudah pasti jika di beli dengan kuantiti yang lebih banyak harganya lebih murah. Proses tawar menawar diperlukan dalam proses jual beli. Bagi saya semasa mem

beli di kedai-kedai ini saya menawarkan terlebih dahulu 50% daripada harga yang ditawarkan oleh penjual. Hasil seni kraf tangan penduduk Thailand boleh dibeli sebagai buah tangan dan sebagai tanda kenang-kenangan.


Perkara penting jika membawa kenderaan sendiri:

  • Pastikan anda membawa geran kereta salinan atau asal bersama passport pemilik kereta tersebut, jika membawa kenderaan individu lain selain daripada pemilik kenderaan pastikan anda membawa sekali surat kebenaran membawa kenderaan.
  • Pos Imigresen Wang Kelian (Buka: 7pagi, Tutup: 7 petang), Padang Besar (Buka: 6 pagi, Tutup 10 malam), Bukit Kayu Hitam (Buka: 6 pagi, Tutup: 12 malam) – GMT 8 Waktu Malaysia
  • Pastikan memilih hotel yang mempunyai tempat letak kenderaan dan pastikan betul-betul parkir tersebut tidak terhad untuk beberapa buah kereta sahaja.
  • Minyak pastikan penuh – minyak di Thailand Ron95 RM3.40 (9 Jun 2015)
  • Pemilihan hotel – satu bilik dua orang, pastikan hanya masuk ke bilik dua orang sahaja. Kalau lebih akan dikenakan caj RM80 untuk satu kepala bagi satu malam melainkan kanak-kanak. Pihak hotel akan meminta semua passport pelancong yang akan bermalam.
  • KLIK --> SURAT BAWA KENDERAAN

Bagi mereka yang mempunyai pertanyaan, boleh email saya di alamat email ini zwairy86@gmail.com

Wednesday, April 08, 2015

Kebiruan Lautan Pulau Gili dan Kehijauan muka bumi Lombok

Wednesday, April 08, 2015
Kebiruan Lautan Pulau Gili dan Kehijauan muka bumi Lombok


Sopan santun, berbudi bahasa, lembut susun atur katanya. Itulah perwatakan orang Lombok yang boleh saya definisikan selama empat hari berada di sana. Lombok merupakan sebuah pulau yang berada di Nusa Tenggara dan kedudukannya berada di sebelah barat Bali. Majoriti penduduk pulau ini berketurunan Sasak dan beragama Islam. Hari pertama setibanya di lapangan terbang antarabangsa Lombok masa dihabiskan dengan mengisi ‘visa on arrival’. Berbeza sebelum ini jika ke Indonesia ‘visa on arrival’ akan diberikan di atas kapal terbang tapi kini pelancong terpaksa mengisinya di terminal. Kawasan terminal lapangan terbang antarabangsa Lombok yang kecil sebesar lapangan terbang tempatan di Malaysia yang dimuatkan satu kawasan untuk imigresen dan mengambil bagasi dalam satu tempat. Waktu di Lombok sama seperti di Malaysia. Cuma waktu siang dan malamnya lebih cepat dari Malaysia.

Selesai segala urusan di lapangan terbang, pemandu saya sudah menunggu di luar terminal. Saya bersama rakan kali ini menggunakan perkhidmatan pemandu yang telah dihubungi menerusi jaringan sosial Instagram, Erwin Febriantara. Pilihan lain jika mahu ke kota Mataram iaitu satu-satunya kota Lombok atau ke Senggigi pelancong boleh juga mengambil bas Damri di luar lapangan terbang. Perjalanan dari airport ke Senggigi mengambil masa satu jam setengah. Jalan lengang, tidak sesibuk jalan seperti di Bali apatah lagi di Jakarta. Jika mahu ke lombok pelancong boleh memilih mahu menginap di Senggigi, Mataram, Kuta atau Gili Trawangan. Berdasarkan bacaan di blog-blog dan pemerhatian setelah sampai, Senggigi tempat paling sesuai untuk menginap disebabkan faktor geografinya yang berada di kawasan bukit-bukau dan kebanyakan kedudukan hotel di tepi pantai. Hotel di kawasan sekitar Senggigi mempunyai pelbagai harga mampu untuk menginap. Dari hostel dengan hanya RM30 satu malam sehinggalah resort yang berharga ribuan ringgit Malaysia. Pilihan kami kali ini memilih Sunsethouse Senggigi dengan harga RM150 untuk satu malam. Sebelum check in hotel kami dibawa untuk makan malam dengan makanan tempatan ayam taliwang. Ayam bakar dan terdapat perencahnya tersendiri yang agak pedas. Menurut Erwin, ayam tersebut disembelih ketika umurnya sekitar empat ke lima bulan. Erwin menceritakan serba sedikit aktiviti yang boleh dilakukan dan bakal dilakukan keesokan hari iaitu aktiviti pantai.

Gili salah satu tarikan





Gili merupakan pulau-pulau kecil yang terdapat di daerah Lombok. Hari Kedua seawal jam 8 pagi Erwin siap sedia menunggu untuk Gili tour di timur lombok yang mengambil masa 2 jam 30 minit masa perjalanan. Satu hari diperuntukkan untuk aktiviti pantai yang sememangnya menjadi pilihan saya setiap kali bercuti. Sepanjang perjalanan ke timur lombok boleh dikatakan setiap satu kilometer terdapat sebuah masjid. Menurut Erwin, Lombok juga terkenal dengan gelaran 'pulau seribu masjid' di mana majoriti penduduk di Lombok adalah beragama Islam. 'Cuma terdapat sedikit golongan minoriti iaitu Hinduisme yang rata-rata lari ke pulau Lombok semasa peperangan berlaku di Bali sudah lama dahulu' katanya lagi. Lebih jelas apabila melalui kota Mataram. Rakyat yang menganut agama hindu sedang membuat persiapan untuk hari Nyepi pada 21 Mac. Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang perjalanan kenderaan awam seperti angkot yang terkenal di Indonesia telah berkurangan akibat daripada pendapatan ekonomi keluarga meningkat dan rata-rata penduduk sudah memiliki kereta atau motosikal. Kereta kuda di Lombok dikenali sebagai Cidomo masih lagi digunakan di sekitar kota Mataram dan Senggigi. Setibanya di satu daerah Peringgabaya bot sudah menunggu kami untuk aktiviti laut iaitu Snorkeling. Pakej yang diambil sehari termasuk makan tengah hari, kenderaan bersama pemandu dan petrol dan peralatan snorkeling untuk sebiji kereta yang boleh muat 4 orang hanya 1.080.000 rupiah. Pengalaman seperti ini belum lagi saya temui berdasarkan beberapa pulau yang saya pergi sebelum ini. Yang menarik dan bertambah teruja apabila diberi peluang untuk melalukan aktiviti snorkelling di tengah laut di mana terdapat sesetengah tempat airnya Cuma paras dada. Pelbagai jenis ikan berwarna-warni dengan kepelbagaian hidupan laut yang dapat dilihat dengan mata kasar. Kawasan pokok bakau yang selalunya kelihatan di pesisir pantai, di Lombok hutan bakau di tengah-tengah laut. Kami juga dibawa ke Gili Kondo, Gili Petagan dan Gili Bidara. Selesai aktiviti sehingga matahari terbenam. Kami menuju ke hotel. Seharian berada di lautan dengan pengalaman menyelam ke dasar laut untuk melihat keindahan dasar laut ciptaan tuhan.



Kawasan muka bumi berbukit bukau

Hari ketiga tidak lagi menggunakan khidmat pemandu pelancong. Kami memilih untuk meneroka kawasan sekitar Senggigi sehingga ke Bangsal iaitu kawasan jeti untuk ke Gili Trawangan dengan menggunakan motosikal. Harga sewa motosikal untuk sehari Cuma RM18 bersamaan dengan 60.000 rupiah. Kepada pelancong yang ingin menyewa motosikal jangan lupa untuk meminta helmet kepada pemilik berkenaan. Hal ini kerana ada sesetengah tempat yang hanya memberikan motosikal sahaja kepada pelancong. Sepanjang jalan ke Bangsal kawasan jalan berbukit bukau menghijau dan kelihatan teluk di Malimbu I dan Malimbu II. Di sebelah kanan kelihatan pepohon menghijau manakala di sebelah kiri biru air lautnya sepanjang perjalanan ke Bangsal. Sepanjang jalan juga kelihatan penduduk-penduduk tempatan melakukan aktiviti perniagaan makanan dan minuman. Cuaca yang agak panas pada sebelah siangnya menyebabkan tekak terasa haus dan kelaparan. Kami singgah di salah satu kedai untuk menikmati ikan bakar dan air kelapa. Ikan yang segar dan sangat sedap. Menurut nenek berumur lebih kurang 70-an yang memiliki kedai tersebut, kawasan Malimbu terkenal dengan ikan bakar resipi tradisional lombok. Saya juga berjaya melihat proses di awal sehingga akhir proses ikan bakar tersebut kerana ia dibuat secara terbuka. Pengunjung boleh memilih sendiri ikan segar seperti ikan kakap untuk dibakar pedas atau biasa. Harga bagi seekor ikan bakar hanyalah 25.000 rupiah bersamaan dengan RM6.50. Sesampai di Bangsal motor di parkir di kawasan berbayar dengan hanya 5.000 rupiah bersamaan RM1.50 untuk sehari. Bangsal merupakan kawasan jeti yang menjadi tumpuan pelancong untuk ke Gili Trawangan, Gili Air dan, Gili Meno, Bali dan Pulau Komodo. Kami memilih untuk ke satu-satunya pulau besar di antara tiga gili iaitu Gili Trawangan. Pelancong boleh memilih untuk menaiki bot laju atau bot awam. Harga tiket untuk seorang dengan menggunakan boat laju 100.000 rupiah dan bot awam cuma 15.000 rupiah. Masa yang diambil juga berbeza di mana boat laju hanyalah mengambil masa 10 minit dan bot awam selama 45 minit untuk sampai ke Gili Trawangan. Gili Trawangan merupakan sebuah pulau yang menjadi pilihan pelancong-pelancong terutamanya dari negara barat. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti scuba diving, island hoping, snorkling dan sebagainya. Rata-rata warga tempatan hanyalah bekerja dan menjadi aktiviti laut sebagai sumber pendapatan mereka. Pengunjung boleh menginap di hotel dan resort-resort yang disediakan dengan pelbagai jenis harga yang ditawarkan. Terdapat pelabagi jenis kedai makanan yang menyediakan makanan laut yang segar. Tiada kenderaan berenjin seperti motosikal apatah lagi kereta. Pengunjung boleh menaiki Cidomo atau basikal untuk melawat kawasan pulau. Harga Cidomo berdasarkan jarak dan basikal boleh disewa dengan harga 50.000 rupiah sehari. Lebih menarik dan rasa selamat terdapat sebuah masjid di Gili Trawangan yang akan memasang bacaan ayat-ayat al-Quran 15 minit sebelum azan berkumandang untuk setiap waktu.



Malam di Senggigi





Aktiviti malam di Senggigi kebanyakan pelancong banyak menghabiskan masa makan malam bersama rakan atau keluarga dengan pelbagai jenis hidangan laut sambil diiringi alunan muzik secara langsung. Penat dengan aktiviti pada sebelah siangnya, saya bersama rakan sempat mencuba makanan laut di Senggigi sebelum pulang keesokan hari. Kami memilih Resto Rembulan untuk menikmati makan malam. Harga pakej diberikan sekitar RM24-30 atau 80.000-110.000 rupiah termasuk ikan kakap bakar, udang bakar, sate sotong, siput bakar, nasi putih dan pelecing kangkung khas lombok. Apa yang boleh saya katakan sangat sedap dan murah. Selain daripada makan malam, pelancong juga boleh merasai urutan tradisional lombok di samping alunan muzik yang dapat menenangkan minda buat seketika. Pelancong boleh memilih sama ada urutan kaki mahupun badan dengan harga 80.000 rupiah. 

Lombok mempunyai seni kraf tangan tersendiri seperti kain tenunan, dan seni kraf tangan berasaskan kayu yang boleh dibawa pulang sebagai buah tangan. Apa yang saya boleh katakan empat hari di Lombok belum cukup untuk melawat kesemua alam semula jadi yang masih kurang diterokai seperti Gunung Rinjani, Pantai Kuta, Bukit Merese, Tanjung Aan dan beberapa lagi tempat. Kepada pelancong gemarkan kedamaian dan mahu lari dari kesibukan kota mencari tempat yang lebih tenang Lombok boleh dijadikan sebagai salah satu tempat percutian.




Perbelanjaan:
Hotel Sunset House Sengigi - RM135-150
Motosikal RM18 / sehari
Tour RM300/ hari (per group) - lunch, supir, kenderaan, alatan snorkling (boleh bahagi dengan beberapa org yg join)
Airport transfer RM60 (sebiji avanza)
Speed boat ke Gili Trawangan RM30 sehala = 100ribu rupiah
Public boat RM6 = sekitar 15-20 ribu

Untuk memudahkan perjalanan, aturan tour, penginapan, island hoping dan sebagainya boleh contact:
Erwin
E-mail: rwnblack@yahoo.com
Wasap: +62818548087
wechat: erwinfebriantara







Monday, January 05, 2015

Kembara Pulau Boracay, Tips dan Aktivti Pulau Berpasir Putih

Monday, January 05, 2015
Story Bali pada bulan November akan publish on February.. jadi layan dulu Boracay.. 

Style of reporting kali ni lain sikit, narrative story.. 

Sebelum memulakan perjalanan ke Pulau Boracay, rakan-rakan sering bertanya ‘Selamat ke nak pergi sana? Tak takut pengganas?’. Terdetik juga sebenarnya di hati, tapi semua itu sama sekali tidak berlaku dan keadaan di sana sangat selamat. Percayalah cakap saya. Penduduknya menjaga dan menghormati pelancong yang datang. Boracay merupakan salah satu pulau kecil yang terlatak di timur selatan asia dan 315KM dari Manila, Filipina yang majoriti penduduknya beragama kristian dan menjadikan aktiviti pelancongan sebagai pendapatan utama. Pulau Boracay atau sebutan Tagalog Bora-Kai pada tahun 2012, telah dianugerahkan pulau terbaik dunia dalam majalah antarabangsa Travel and Leisure. Bagi saya ia memang layak mendapat anugerah tersebut beradasarkan pemerhatian dan pengalaman sepanjang berada di sana selama 4 hari 3 malam. Apa yang menarik minat saya untuk menjejaki pulau ini adalah keadaan muka buminya yang berbukit bukau, berpasir halus, putih dan airnya sejernih kristal di lautan yang menjadi habitat ikan bewarna warni. Pelancong yang ingin menjejaki pulau berpasir putih ini boleh menggunakan dua laluan untuk ke Boracay melalui jalan udara iaitu KL-Kalibo atau KL-Manila-Caticlan. Perjalanan ke Boracay boleh menggunakan pesawat udara dari Kuala Lumpur ke Manila dan mengambil pesawat dari Manila ke Caticlan. Buat kali pertamanya saya bersama rakan ke Boracay dengan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur terus ke Kalibo. Perjalanan dengan menaiki pesawat ini mengambil masa lebih kurang 3 jam 45 minit untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo.

Hati mula gundah gulana apabila kapal terbang mula menurunkan kelajuan dan ketinggan apabila pemandangan kiri dan kanan hanyalah kawasan perkampungan. Langsung tidak kelihatan seolah-olah dihadapan terdapat satu kawasan lapangan terbang seperti keadaan lapangan terbang di Malaysia yang agak jauh dari kawasan penempatan penduduk. Landasan lapangan terbang yang pendek dan seolah-olah mendarat di dalam perkampungan membuatkan hati ini terasa sedikit berdebar. Namun, hati yang berdebar bertukar kepada teruja apabila kapal terbang berhenti sepenuhnya. Teruja dengan perjalanan seterusnya untuk sampai ke Pulau Boracay.

Perjalanan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo, kami perlu mengambil pengangkutan awam untuk sampai ke jeti Caticlan salah satu pekan kecil yang teletak di tepi pantai. Kalibo merupakan bandar yang menjadi hubungan kepada penerbangan-penerbangan antarabangsa antaranya daripada Korea dan beberapa negara lain. Sebaik sahaja keluar daripada terminal ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo pelancong akan disambut dengan pemandu-pemandu pengangkutan awam seperti van dan juga bas yang rata-rata menawarkan harga yang berbeza untuk ke Jeti Caticlan. Salah satu syarikat pengangkutan awam yang terkenal ialah Southwest. Nama saya sudah terpampang di papan tulis Southwest menandakan perjalanan ke Caticlan akan bermula pada bila-bila masa. Supaya kelancaran perjalanan kali ini, urusan tempahan atas talian telah dilakukan lebih daripada sebulan yang lalu seperti urusan penginapan, bas, bot dan teksi. Bagi urusan tempahan bas, feri dan teksi kami membeli tiket secara atas talian di laman web Southwest, Boracay dengan harga 700 peso untuk perjalanan pergi dan balik untuk seorang.

Perjalanan daripada lapangan terbang ke Jeti dengan menggunakan bas Southwest mengambil masa dua jam melalui perkampungan dan jalan yang berbukit bukau. Bagi yang mempunyai minat dalam meneroka alam semulajadi perjalanan dari Kalibo ke Caticlan membuat anda hilang kepenatan dan tidak terasa terlalu lama di atas bas. Bukit bukau menghijau, sawah padi terbentang, air laut membiru seolah-olah menyambut kedatangan pelancong. Sampai di jeti Caticlan, pelancong perlu membayar 75 peso untuk environmental fee dan 100 peso cukai jeti. Setibanya di jeti wakti menunjukkan hampi jam 5.45 petang. Pada waktu ini daripada terminal perlepasan jeti kami berpeluang melihat pemandangan feri dan bot-bot kecil yang sedang mengambil dan menurunkan penumpang berlatarbelakangkan matahari terbenam. Secara keseluruhannya masa perjalanan yang diambil adalah 8 jam termasuk masa menunggu untuk sampai ke Boracay. Waktu di Boracay sama di Malaysia cuma waktu malam lebih awal berbanding di Malaysia. Jam 5.30 petang kami sampai di Jeti kawasan persekitaran mula sibuk dengan aktiviti malam terutamanya perniagaan barangan cendera hati. Petugas Southwest bersiap sedia untuk membahagikan penumpang yang mengambil perkhidmatan mereka ke hotel dengan menggunakan teksi dan van mengikut Stesyen. Terdapat tiga stesyen di Pulau Boracay iaitu Stesyen 1, Stesyen 2 dan Stesyen 3 dimana stesyen yang menjadi tumpuan adalah Stesyen 2. Sampai sahaja di hotel terus Check in dan rehat bagi mengumpul tenaga untuk perjalanan keesokan hari.

 Sunset di Jeti dalam Jam 4.45 petang

 Kedai Souvenir 

Hari kedua di Boracay kami menghabiskan masa satu hari dengan aktiviti Island Hoping dari jam 9.30 pagi sehingga jam 4 petang. Harga yang dikenakan adalah sekitar 800 peso termasuk makan tengah hari. Teruja melihat keindahan alam ciptaan tuhan dengan pasir memutih dan air yang jernih seperti kristal yang belum saya temui di mana-mana pulau yang saya sudah pergi sebelum ini. Aktivti ini bukan hanya menumpukan kepada snorkeling malah pelancong juga akan dibawa ke satu pulau yang dipanggil Crystal Crove dengan bayaran 200 peso seorang sebagai bayaran masuk. Tidak terucap dengan kata-kata, kaku seketika apabila melihat laut membiru menghempas batu pulau yang membentuk pelbagai corak akibat tindakan ombak dan air laut pasang surut. Berdasarkan pemerhatian, Crystal Crove saya boleh kategorikan sebagai bukit yang menjadi pulau disebabkan bentuk muka buminya yang berbukit bukau, berbatu dan kurang tumbuhan hijau. Terdapat pondok-pondok yang berbumbungkan atap seakan-akan daun rumbia. Tenang dan terindah itu sahaja perkataan yang dapat diungkapkan ketika berada di pulau ini. Kemudahan lain seperti kedai minuman dan tandas awam juga disediakan bagi pelancong yang memerlukan. Selesai melawat Pulau Crsytal Cove, petugas bot menaikkan sauh menandakan bot akan bergerak menuju ke tempat seterusnya.

Bot dipandu dengan berhati-hati disebabkan pada ketika ini ombak setinggi satu meter dan keadaan menjadi sedikit kelam kabut apabila bot mula bergoyang kiri dan kanan. Pemandu bot yang memberi senyuman dan tidak lokek ilmu cuba untuk menenangkan pelancong-pelancong yang datang dari kepelbagaian negara bertindak memberi sedikit penerangan mengenai tempat dan cara yang betul untuk snorkling melihat hidupan alam di dasar lautan untuk aktiviti seterusnya. 

Selesai aktiviti Island Hoping kira-kira jam 4 petang, kami pulang ke hotel. Pada sebelah malam di Pulau Boracay sangat meriah dengan tempat-tempat makan dan hiburan. Pelbagai jenis kedai menawarkan pakej makan malam dari mahal sehingga murah dan kebanyakannya tidak halal. Mencari makanan halal satu cabaran buat kami. Sebelum tiba di Boracay, saya bersama rakan bersiap sedia dengan satu senarai kedai-kedai makanan halal yang dicari di internet. Tetapi apabila tiba di kedai tersebut pelayan mengatakan kedai mereka bukan kedai yang menghidangkan makanan halal. Sedikit kecewa dan kami tidak berputus asa. Pilihan seterusnya adalah kedai makanan arab The Kingdom of Boracay di Station 3. Kedudukan kedai yang jauh daripada pantai dimana kedudukan lorong adalah sebelah bangunan Hotel Red Coconut. Satu set beriyani ayam dan satu minuman ringan berharga 440 peso. Perut sudah tidak berkeroncong, perjalanan diteruskan untuk membeli sedikit cendra hati untuk dibawa pulang. Sangat banyak kedai yang menjual cendera hati di laluan berjalan kaki di tepi pantai dengan harga berbeza yang dibuka pada jam 5 petang sehingga jam 12 malam. Perbezaan antara satu kedai dengan kedai yang lain agak tinggi. Satu fridge magnet sekitar 50 peso dan 7 gantungan kunci yang boleh dikukir atau ditulis nama sekitar 100 peso manakala tshirt untuk dua helai harganya sekitar180 peso. Sudah pasti tawar menawar amat diperlukan dalam urusan jual beli kerana rata-rata kedai hanyalah kedai biasa yang wujud pada waktu malam di tepi pantai. 

 Kreatif hasil tangan anak muda, kalau dah bergambar kat sini hulu-hulur la skit


 Pemandangan dari tempat breakfast Hotel La Carmela jam 9 pagi

 Boleh tido-tido kalau still mengantuk

 Air jernih!

 Bersama Rizan, dia lah yang mengaturkan segala aktiviti


 Crystal Crove Island


Mandi manda tengok Nemo


Hari ketiga pada sebelah pagi kami menghabiskan masa untuk bersiar-siar sekitar sepanjang pantai di Boracay kerana pada waktu petang aktiviti ATV ke Mt Luho sudah ditempah. Jika ke pesisir pantai, ramai pemandu pelancong menawarkan pelbagai pakej dan penjual barangan seperti monopod dan sebsgainya akan menghampiri pelancong. Berjalan-jalan sehingga perut mula berasa lapar, melihat kepada senarai kedai makan yang telah dibuat kami memilih kedai No 74 di D’Talipapa yang merupakan satu-satunya gerai makanan islam. Satu kekeliruan mungkin timbul apabila sampai ke kedai cendera hati no 74 apabila langsung tidak menyerupai kedai yang menjual makanan. Pelanggan cuma perlu bertanya kepada jurujual ‘lunch’, ‘dinner’ sebagai kata kunci dan jurujual tersebut akan suruh masuk ke dalam kedai tersebut dimana di belakang terdapat satu tempat untuk menjamah makanan yang boleh menampung kapasiti 10 orang dalam satu-satu masa. Semasa makan tengah hari saya dan rakan memilih kedai 74 ini sebagai tempat menjamu selera. Masakan mindanao ayam dan ikan gorang untuk dua orang makan hanya 120 peso. Namun, tempat menjamu selera ini amat berbeza sekali dengan kedai-kedai makan di Malaysia dari segi kemudahan dan pemilihan makanan dan minuman. Minuman yang diberikan hanyalah air kosong sahaja.


Pada sebelah petang jam 3 petang, kami meneruskan aktiviti ATV Mt Luho. Perjalanan dengan menggunakan teksi beroda tiga mengambil masa 15 minit daripada hentian D’Mall menuju ke satu tempat yang diberi nama Dreamland dengan bayaran 50 peso. Pakej aktiviti ATV dengan bayaran sebanyak 750 peso termasuk bayaran masuk ke Mt Luho. Perjalanan dengan menggunakan ATV ke Mt Luho mengambil masa selama 15 minit untuk sampai ke pelantar pamandangan bagi melihat keindahan Pulau Boracay daripada atas bukit. Perjalanan melalui kawasan perkampungan penduduk Boracay yang rata-rata pekerjaannya adalah sebagai pekebun sayur. Sampai sahaja di kaki bukit pelancong perlu mendaki bukit dengan menggunakan tangga yang disediakan selama 10 minit. Hilang kepenatan apabila sampai di pelantar pemandangan. Pemandangan Boracay penuh dengan bangunan-bangunan hotel dan di laut kelihatan payung-payung aktiviti parasailing. Sejuk mata memandang dengan melihat tumbuhan hijau dan lautan biru yang terbentang.


 Hair Braid ni ada dalam wishlist kat Boracay, jadi buatla.. dalam 200 peso

 Pemandangan daripada Mt Luho dengan menaiki ATV.. gambar naik ATV tak dop sebab masing memandu secara berhemah *poyo

Hari keempat, merupakan hari perjalanan pulang di mana pihak Southwest meminta kami menunggu di lobi pada jam 9.30 pagi untuk perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kalibo. Jauh disudut hati untuk pulang, tapi apakan daya. Kapal terbang AK609 dari Kalibo ke Kuala Lumpur bakal berlepas pada jam 3.15 petang. Secara keseluruhannya, Pulau Boracay wajib dilawati bagi penggemar aktiviti pantai. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Pulau ini antaranya Helmet Diving, Island Hoping, ATV, Ariel Point Cliff Diving, Parasailing, Flying Fish, Scuba Diving, Zorb, Zipline, Bug Car dan Sunset Sailing boat. Empat hari tiga malam sebenarnya tidak mancukupi bagi melakukan semua aktiviti ini jadi kalau ada masa maka tidak mustahil Pulau Boracay bakal menjadi destinasi percutian sekali lagi. 





Tips yang boleh saya kongsikan bersama:
  • Airport Tax - 500 peso
  • Pemilihan hotel buatlah pilihan yang terbaik sebab ada ingin bercuti release segala stress jadi  saya cadangkan station two.. malamnya meriah boleh tempah di Agoda.Com
  • Pemilihan makanan halal tak banyak, boleh pergi ke gerai no 74 D'talippapa atau kedai makanan arab The Kingdom of Boracay
  • Kalau nak beli souvenir, fridge magnet beli ja di D'Talippapa dalam 50 peso satu.. 
  • Untuk kenderaaan daripada Kalibo Airport boleh tempat online di sini -> Southwest
  • Untuk aktiviti kalau tak nak rungsing nak pilih, boleh minta Rizan Nogales aturkan.. ni email 
    dia (rizan0104@hotmail.com)

Kos
Perbelanjaan
Tiket penerbangan
RM630 (normal) *bkn promo
Penginapan di La Carmela d Boracay, Station 2
RM220 X 3  malam = RM660/2 pax =RM330
Southwest (Bas, Ferry dan Teksi) pakej online pergi dan balik
RM55
Makan sepanjang 3 hari
*ada bekalan spt megi dan roti
RM35
AKtiviti untuk 2 hari
Islad Hoping dan ATV
1500 peso = RM117.90
*Hotel boleh pilih.. murah ada, mahal pun ada.. bergantung..

*tiket boleh ambil time promo.. lagi murah.. kalau bawah RM600 tu kira ok la..



Appendix 
Activity by Rizan Nogales (rizan0104@hotmail.com):

Island hopping - group tour (Allen B Fun Tour)
- 800p/pax, from 10am to 4pm
- inculding unlimited BBQ lunch, soft drinks and 2beers
snorkeling 2~3times and goggles
tour to Puka beach (if the wave is not heavy)
tour to crystal cave
and Crocodile Island is view
- not including
crystal cave entrance fee 200p/pax
and snorkeling fee 20p/pax.

Ariel point cliff diving - group tour (Boracay Beach Club)
- 2000p/pax
- 11:30am to 4:30pm
- including unlimited BBQ lunch, soft drinks & beers
snorkeling & goggles, kayaking,
and you can jump there at Ariel's Point
Note1: Need deposit 500p/pax for booking when we first meet. Cancellation must before 7:30am on that day, so that i can get refund for you.
Note2: if the wave is heavy there, the company will cancel the tour, you can change to other day or get refund.

Parasailing - double or triple fly
- 1600p/pax (start in Nov)
- 15mins
- need 1H in total including
transfer and playing
Note: if have promo, its about 600~1300p/pax up to. But because promo is changeable, in case misunderstanding, i will update again the price when you here.

Helmet diving
- 500p/pax, including cd (photo & vedio)
- 15mins
- need 1H in total including transfer and diving

Flying fish
- 600p/pax if 3pax (minimum of 3pax)
- 500p/pax if more than 4pax
- 15mins

Scuba diving
- 3000p/pax, including all
equipment, chinese or english instructor,
certification and cd (images & vedio)
- 30~40mins under water depend on situation,
- need 3hrs in total inculding diving, lesson and transfer.

Zorb
- 380p/pax

Zipline (longest one in boracay)
- 900p/pax
- including zipline first and Cable car for going back.

Bug car
- 1500p/unit, good for 2pax
- 1H
- not including Ocean Tower (or Mt. Lohu) entrance fee 50p/pax

ATV
- 700p/unit, good for 1pax
- 1H
- not including Ocean Tower (or Mt. Lohu) entrance fee 50p/pax

Land tour (use traditional trcycle)
- 700p/unit, 2hrs, good for 2pax private
- tour to puka beach and Ocean Tower
- not including Ocean Tower (or mt. l
Lohu) entrance fee 120p/pax

Sunset Sailing boat
- 200p~300p/pax for sharing boat depend on situation
- 30mins sailing around sunset time.
Note: because the weather is changeable and sometimes many tourist but the boat is limited, i cant promise the best sunset, but i will try my best. Hope your understanding.


Catatan Perjalanan: 20-23 November 2014
Mabuhay!
Selamat Bercuti! 
Kalau ada pertanyaan boleh terus e-mail ke zwairy86@gmail.com