Wednesday, December 16, 2015

Kepulauan Funen, Denmark Seolah-olah fantasi dan realiti wujud bersama!



Gate B3, SIN - CPH


Kembara ke pulau ketiga terbesar Denmark iaitu Kepulauan Funen bagaikan mimpi menjadi kenyataan dengan 13 jam masa perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Copenhagen. Denmark merupakan salah satu negara Scandinavia atau Eropah Utara selain daripada Norway dan juga Sweden. Sampai sahaja di lapangan terbang tidak susah seperti yang disangka. Sifat penduduk tempatan yang sangat ramah dan mudah memberi pertolongan dengan menggunakan Bahasa Inggeris semasa berkomunikasi dengan pelancong luar melancarkan lagi perjalanan. Malah, papan-papan tanda yang terdapat di dalam dan luar lapangan terbang turut menggunakan Bahasa Inggeris. Ini memudahkan lagi perjalanan saya yang baru pertama kali menjejak kaki ke negara Eropah berseorangan. Actually berdebar juga, tapi redha, ikut ja hati. Sebab tak pernah lagi berjalan berseorangan. Boleh imagine kot 13 jam berseorangan dari KL lagi sampai di Airport Copenhagen. Lepastu terpaksa memulakan perjalan seorang diri dengan train pula. Hadap la.. sewaktu menunggu keretapi jam 930 pagi dapat la cuci mata tengok orang Danish. Sebelum bertolak tu ingat dorang macam dalam cerita-cerita omputih pakai sempoi-sempoi ja p kerja dan universiti. Alih-alih amik kau, lelaki sekali keluar kat arrival hall pakai blazer suit bagai dengan beg bimbit kulit hokey!

Cuaca sewaktu sampai di Copenhagen sekitar 7°C -13°C. Sejuk sehingga menusuk ke tulang itu sahaja yang saya dapat gambarkan. Perjalanan tidak terhenti di Copenhagen kerana destinasi saya adalah kepulauan Funen. Sebuah pulau yang mempunyai asal usul cerita fantasi. Perjalanan diteruskan lagi dengan menggunakan kereta api antara bandar yang stesennya tidak jauh dari lapangan terbang. Masa yang diambil daripada Stesen Kereta api Copenhagen ke Stesen Kereta api Odense adalah selama 1 jam 35 minit dengan harga 320 danish kroner (dkk) untuk perjalanan sehala. Sistem kenderaan awam termasuk bas dan keretapi sangat sistematik di sini.

Tiket keretapi saya sudah membeli sebelum bertolak lagi secara atas talian melalui laman web DSB Train. Secara keseluruhannya, bandar-bandar utama di kepulauan Funen adalah seperti Odense, Bogense, Middelfart, Assens, FÃ¥borg, Svendborg, Nyborg, dan Kerteminde. Semasa di Kepulauan Funen saya sempat melawat Odense merupakan salah sebuah bandar yang popular di Denmark yang terletak di kepulauan Funen di mana ia merupakan bandar ketiga selain daripada Copenhagen dan  Aarhus dengan populasi penduduk sekitar 174 ribu penduduk bagi awal tahun 2015. Manakala bandar-bandar kecil lain yang saya sempat lawati adalah seperti Kerteminde dan Nyborg. Berdasarkan jarak melalui jalan darat, Odense terletak 144KM daripada bandar utama Copenhagen. Bagi mereka yang meminati cerita ‘fairy-tale’ bandar ini paling sesuai dijadikan sebagai salah satu tempat melancong. Keunikan kepulauan adalah seni reka bentuk dan dekorasi rumah yang unik, berwarna-warni dan bentuknya yang pelbagai.

 Pengangkutan awam sangat sistematik termasuk train

 Keadaan train yang sangat selesa






Kenderaan

Penduduk di Denmark menggunakan basikal sebagai kenderaan utama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain selain daripada bas dan juga kereta api. Basikal boleh disewa dengan harga sekitar 160dkk sehari. Perjalanan saya dari satu tempat ke satu tempat lain kebanyakan berjalan kaki sesuai dengan cuaca yang sejuk dan badan tidak akan berpeluh. Sistem kenderaan awam seperti bas dan keretapi sangat sistematik dan menepati waktu walaupun sesaat. Saya dari awal lagi sudah membuat sedikit bacaan di internet dan pertolongan oleh beberapa orang pelajar yang menyambung pengajian di Denmark mengenai sistem pengangkutan dan sebagainya. Bagi memudahkan pergerakan, saya telah memuat turun satu aplikasi khas kenderaan awam di Denmark iaitu ‘Rejseplanen’. Aplikasi ini sangat mesra pengguna di mana ia akan mengesan kedudukan pengguna secara tepat dan saya cuma perlu memasukkan nama jalan yang hendak ditujui. Maklumat yang diberikan termasuklah masa perjalanan, no bas atau kereta api. Bagi saya pengalaman di Denmark menggunakan kenderaan awam sangat kondusif lebih-lebih lagi ia sangat mesra pengguna OKU. Tidak kiralah bas mahupun kereta api, jalan-jalan utama juga disediakan lorong kemudahan khas untuk OKU, pejalan kaki dan penunggang basikal. Bagi perjalanan yang tidak begitu jauh dengan menggunakan kereta api tiket yang diberikan adalah tiket terbuka iaitu anda boleh menggunakan tiket tersebut dalam masa yang telah diberikan. Selalunya tidak lebih daripada 45 minit. Terdapat skrin yang disediakan bagi yang menunjukkan laluan kereta api bagi memudahkan pengguna.







Aplikasi REJSEPLANEN yang boleh dimuatturun melalui telefon pintar. Sangat membantu. Masa just buka apps ni dan dia akan detect location di mana kita berada. Masukkan destination, dia akan berikan laluan dan kenderaan apa yang boleh dinaiki. Sangat sistematik. Sebagai diatas saya berada di Alle 2 street nak ke airport CPH. Maklumat yang diberikan termasuklah laluan pejalan kaki dan masa yang diambil, ambil train nombor yang diberikan dan sampai ke airport. Mudah bukan?










Last, ini lah kenderaan saya sepanjang berada di Odense. Thanks Jakob!




Tempat tarikan.

Odense
Saya banyak menghabiskan masa berada di Odense sebuah bandar yang kelihatan seperti fantasi tetapi ia merupakan salah satu bandar yang wujud dan popular disebabkan pelopor cerita fantasi dilahirkan dan dibesarkan di Odense iaitu Hans Christian Andersen. H. C. Andersen pelopor cerita dongeng ini lahir dan dibesarkan di bandar kecil ini pada tahun 1805 dan menghabiskan zaman kanan-kanaknya di sini. Beliau juga merupakan saya Danish yang popular dengan travelog, novel, syair dan pengasas kepada idea-idea cerita mengenai fairy-tale atau dalam bahasa Melayu cerita fantasi atau dongeng. Berada di bandar kecil Odense ini seolah-olah berada dalam satu kawasan muzium yang bersejarah dikaitkan dengan cerita fantasi. Cerita-cerita fantasi yang terkenal adalah seperti "The Emperor's New Clothes", "The Little Mermaid", "The Nightingale", "The Snow Queen" dan "The Ugly Duckling".

Semasa bersiar-siar, saya bertemu dengan seorang rakyat tempatan semasa berjalan kaki di bandar kecil ini yang aman dan mempesonakan ini. Beliau berkata tempat wajib yang perlu dilawati bila berada di Odense adalah dengan melawat muzium HC Andersen dan ke perkampungan Funen selain daripada beberapa tempat lain yang menjadi tumpuan. Pelancong boleh melawat H. C. Andersen Museum dan H. C. Anderson Childhood Home. Kedua-dua tempat ini merupakan tempat yang wajib dilawati jika sampai di sini. Semasa berada di dalam H. C. Andersen Museum, saya berasa bangga apabila Malaysia juga tercatat sebagai salah satu negara yang menjual karya saya terkenal ini. Selain itu, terdapat pelbagai informasi dari beliau dilahirkan sehinggalah pameran segala barangan seperti motosikal, kamera dan juga bilik tidur tempat beliau dilahirkan. Hampir 80% kawasan bandar Odense merupakan tempat bersejarah yang dikaitkan dengan pelopor cerita fantasi ini sehinggakan pelancong boleh melawat dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mengikuti tanda tapak kaki yang diletakkan di laluan utama.



Pokcik Andersen



 kawasan penempatan yang bewarna warni.. 

 Odense Havn

Rakan ajak jalan-jalan Nina dari Munich













 Kalau hujung minggu ada la macam-macam aktiviti di bandar Odense. 




 Laluan nak balik ke rumah, fuhhh dengan cuaca sejuk.. hijau.. Rindu!

 Laluan OKU dimana-mana.





 Odense City Hall
















Egeskov Castle 
Saya juga sempat melawat salah satu istana yang tersergam indah yang diberi nama Istana Egeskov dengan bayaran masuk 180dkk. Melangkah masuk ke istana ini bagaikan berada pada zaman pemerintahan diraja Viking. Istana ini telah dibina sejak tahun 1545 lagi. Terdapat beberapa bahagian dalam istana ini yang boleh dilawati kerana ia juga masih lagi dijadikan tempat tinggal sebuah keluarga sehingga kini. Kawasan yang dibenarkan adalah seperti ruang makan, bilik muzik, menara utara, menara selatan dan bilik utama. Kamar-kamar tidur dihiasi dengan sofa mewah dan dekorasi zaman 1900. Selain itu, dipamerkan juga barangan lama seperti mangkuk dan beberapa peralatan lain. Sesuai dengan kawasan yang dikaitkan dengan cerita fantasi, terdapat satu patung kayu di atas bumbung istana yang mempunyai cerita fantasinya sendiri jika di ubah daripada bantalnya maka robohlah istana tersebut pada malam Krismas. 































Funen Village
Manakala, satu lagi tempat tarikan pelancong adalah perkampungan Funen yang terletak di Fruens Bøge tidak jauh dari bandar Odense. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 60dkk untuk seorang. Perkampungan ini merupakan satu perkampungan yang telah dibentuk dan diubahsuai menyerupai zaman H. C. Andersen pada zaman 1900 lagi. Terdapat 26 rumah dan taman yang berbeza untuk dilawati. Kadangkala saya berasa dalam pembikinan ‘Red Riding Hood’ apabila kebanyakan  sukarelawan di sini memakai scarf dan satu persalinan pakaian pada zaman dahulu kala. Hasil daripada temu bual saya bersama sukarelawan yang berkhidmat di sini, perkampungan ini diwujudkan untuk memastikan dan juga memelihara budaya masyarakat Funen supaya ia sentiasa hidup walaupun pelbagai perubahan telah berlaku dalam masyarakat terutamanya dari segi politik, teknologi dan juga sains sejak tahun 1900. Terdapat juga kawasan-kawasan tertentu yang membolehkan pengunjung beriadah bersama keluarga seperti Summerhouse, Brickworks dan Smallholding. Setiap rumah yang didirikan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Segala catatan dan informasi dibuat dalam bentuk audio visual dan dalam bentuk poster di setiap rumah. Keunikan terserlah dengan seni bina rumah yang pelbagai bentuk dan warna. Rumah-rumah ini dihiasi dengan taman bunga dan tasik yang dihuni oleh binatang peliharaan seperti itik, ayam dan biri-biri. 
















































Bagi pelancong yang ingin melakukan kelainan dengan menghantar poskad kepada rakan-rakan di Malaysia sebagai tanda kenang-kenangan, pelancong boleh berbuat demikian di kaunter Informasi Pelancongan, Odense bersebelahan dengan City Hall, Odense Denmark. Jangan lupa untuk mencuba roti-roti yang terkenal di Denmark seperti Danish Apple Pie dan sebagainya.


Ruangan Kembara Ahad 13 Disember 2015

1 comment:

Comment